ULASAN I Filem yang ditunggu-tunggu kini sudah menerjah ke pawagam.
KL Special Force pada asalnya dijadualkan ditayang pada tahun 2017, dilajak ke tahun 2018 atas sebab tertentu yang mempunyai hikmahnya tersendiri.
Penantian ini akhirnya berbaloi dan kena dengan hasilnya, menyaksikan pertembungan hero lama Datuk Rosyam Nor dan hero baru Fattah Amin dalam sebuah filem penuh aksi yang berani dan mengasyikkan.
Kalau sudah lebih 10 biji kereta yang diletupkan serta mempunyai kasualti bersepah, ia cukup menggambarkan betapa padatnya filem ini dengan kesan khas, aksi dan lagak ngeri.
KL Special Force mengisahkan sepasukan polis khas yang fokusnya menentang jenayah terancang oleh sebuah kumpulan anarkis.
Kumpulan anarkis ini dipercayai mempunyai ideologi tersendiri dalam penentangan terhadap golongan borjuis (pemilik bank) dan pasukan KLSF bertanggungjawab menumpaskan kumpulan ini.
Filem ini penuh dengan plot konflik dan 'mind twist' yang membawa kita menyelusuri realiti alam kepolisian dan juga rencah kehidupan sebagai seorang anggota polis, yang disulam pelbagai persepsi, selain mendepani tugas di lapangan dan peranan dalam berkeluarga.
Tempo filem yang tidak meleret dengan momentum yang laju secukup rasa menjadikan mata penonton tidak lekang dari terus menonton.
Dalam masa yang sama, filem ini menerap banyak mesej tersirat yang agak mendalam, seharusnya mampu ditafsir dengan baik jika ditonton penuh penghayatan.
Watak dan lakonan tidaklah perlu dipersoalkan. Siapa lagi hero malaya kalau bukan namanya Rosyam Nor? Kali ini watak Rosyam cukup 'badass' yang mungkin sedikit membawa kita mengimbau lakonan Denzel Washington dalam filem 'Training Day'.
Watak Fattah Amin juga bukan suatu yang mudah. Seorang polis muda yang baru nak 'up' dilengkapi skill yang sangat cekap. Tahniah buat Fattah atas lakonan bersahaja yang cukup 'remarkable', watak lakonan yang memberi kesan langsung pasti menambat hati penonton.
Konflik antara DSP Roslan dan Inspektor Zul antara paling menarik dalam filem ini, di mana mereka saling berlumba dan bersaing untuk kebenaran.
Ketua geng anarki lakonan Syamsul Yusoff dilihat 'flawless'. Watak antagonis kayaknya paling sesuai buat beliau.
Siapa lagi yang paling 'best' jadi orang jahat kalau bukan Syamsul Yusoff?
Pelakon pembantu juga cukup membantu dan menghidupkan filem yang ada kalanya kelakar, menghiburkan dan beberapa ketikanya sedih dan tragis.
Filem ini Cekdy klasifikasikan sebagai filem Melayu wajib tonton dengan 4.5 bintang rating Malaysia.
Tahniah buat Syafiq Yusoff yang berjaya membawa industri perfileman tanah air selangkah ke hadapan. Syafiq mampu buktikan filem Melayu berat juga ada 'market' yang besar dalam negara.
Semoga filem ini mampu merekodkan kutipan pecah panggung tertinggi dalam sejarah. InshaAllah.
EDY NOOR REDUAN Merupakan aktivis Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM).
Artikel ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.