Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
'Ada sebab Ziana buat laporan'
Diterbitkan:  Mar 7, 2018 2:31 PM
Dikemaskini: 6:43 AM

Ekoran perhatian ramai terhadap suami yang dihadapkan ke mahkamah atas dakwaan mencederakan anak, penyanyi terkenal Ziana Zain semalam meminta semua pihak memberi ruang kepadanya.

Namun hari ini netizen tetap muncul dengan pelbagai spekulasi seperti soal bagaimana pasangan itu mendidik empat anak mereka.

Di ruang komen Instagram milik Ziana, ada yang sehingga mencadangkan Ziana menceraikan suaminya, Armin Zaharin Ahmad Zambri, yang kini menganggur.

Ada juga membuat serkap jarang mendakwa hubungan pasangan itu kini dilanda masalah memandangkan Ziana sendiri yang membuat laporan polis berhubung perkara itu.

“Sebab sudah tidak sebulu dengan suami...Itu saja ceritanya,” kata pengguna akaun ricetowednesday.

“Pastilah ada sebab Kak Gee (Ziana) buat laporan. Mesti dah banyak kali terjadi, kalau setakat sekali takkan nak buat laporan,” kata seorang lagi pengguna akaun.

Semalam, Armin, 53, didakwa mengikut Sesyen 324 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Shah Alam atas tuduhan melakukan kesalahan itu pada 25 Februari lalu, yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat, atau dua daripada hukuman itu.

Dia didakwa menyebabkan anak mereka mengalami luka dan lebam kerana menggunakan rotan di rumahnya di Denai Alam pada jam 4 pagi.

Armin bagaimanapun mengaku tidak bersalah, berkata tindakannya itu bertujuan mengajar anaknya mengaji dan sembahyang.

Doa yang baik-baik

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada Mei 1998 dan dikurniakan empat cahaya mata iaitu Muhammad Aiman, 19, Muhammad Ammar, 14, serta pasangan kembar, Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh, 9.

Membuat laporan polis pada 27 Februari lalu, Ziana, 49, menyifatkan perkara itu sebagai terlalu peribadi untuk diceritakan kepada umum.

Justeru penyanyi Madah Berhelah itu meminta orang ramai tidak mengganggunya yang kini berusaha menyelesaikan konflik itu.

Tidak semua peminatnya hanya melontarkan kritikan, seperti yang dapat dilihat daripada doa dan sokongan yang ditunjukkan pengikut Instagram penyanyi yang mula mencipta nama pada awal 1990-an itu.

Pengguna akaun Hdalifaimn misalnya membidas sesetengah orang yang mencadangkan penceraian hanya kerana spekulasi tak berasas.

"Perkara yang halal tapi dibenci Allah ialah cerai. Pelik bila pakcik dan makcik bawang tiba-tiba minta Kak Ziana cerai. Sudahlah tak tahu apa-apa dan buat spekulasi sendiri," katanya.

“Hanya kak Ziana tahu kebenarannya. Pasti ada sebab yang kukuh atas tindakan kak Ziana dan biarlah dia selesaikan dulu...Doakan yang baik-baik buat mereka," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS