Hampir sebulan selepas mengadakan pertemuan bagi merungkai tanda tanya mengenai jantina, nampaknya kemelut yang membayangi Nur Sajat Kamaruzzaman masih belum terungkai.
Pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang menangani isu itu sebaliknya mendedahkan pihak usahawan barangan komestik terbabit cuma mengaku dia seorang khunsa.
Menurut Dr Mohd Izwan Md Yusof semasa pertemuan pada 16 Jan lalu ibu bapa Nur Sajat bersumpah anak mereka itu mempunyai dua alat kelamin.
Namun kata Mohd Izwan yang juga penolong pengarah kanan Jakim itu pihaknya masih memerlukan pengesahan pihak yang berwibawa dalam bidang perubatan.
Pegawai Bahagian Pembangunan Keluarga, Sosial dan Komuniti Jakim itu juga memberitahu mStar Online hari ini, satu temu janji diatur antara pakar perubatan dan Nur Sajat sebelum ini.
Baca Cukuplah, rayu Sajat
“Namun di saat-saat akhir Sajat tidak hadir atau membatalkan temu janji kerana didesak pihak ketiga di pihak Sajat sendiri,” jelas pakar menangani isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) itu.
Kata Mohd Izwan Jakim memang menawarkan bantuan agar Sajat mengikuti beberapa prosedur pengesahan jantinanya yang diperakui kerajaan.
Katanya Jakim tetap komited meneruskan proses untuk mendapatkan pengesahan identiti sebenar usahawan terbabit bagi menjawab tanda tanya orang ramai.
Ditanya mengenai dakwaan membabitkan pihak ketiga itu, Sajat hanya menjawab ringkas: “No comment.”