Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
OneRepublic datang lagi selepas 5 tahun
Diterbitkan:  Feb 12, 2018 2:05 PM
Dikemaskini: 6:09 AM

Band pop rock dari AS, OneRepublic, dijangka kembali mengubati rindu peminat mereka pada 25 April ini selepas kali terakhir mereka membuat persembahan di sini lima tahun lalu.

Pengumuman itu disahkan penganjur konsert WGW Entertainment dalam sebuah kenyataan dikeluarkan mereka malam tadi.

“Konsert ini adalah sebahagian daripada siri jelajah dunia bagi memperomosi album keempat Oh My My. Ia berjaya menduduki tangga ketiga di carta AS.

“Ini adalah konsert pertama di Malaysia selepas hampir lima tahun sejak mereka membuat persembahan pada 2013,” menurut kenyataan itu.

Oh My My adalah album terbaru OneRepublic yang diterbitkan pada 7 Oktober pada 2016.

Bagaimanapun, tiada sebarang maklumat lanjut berhubung konsert yang dijadual berlangsung di Stadium Merdeka itu.

Pada 2013 menyaksikan kira-kira 5,000 peminat hadir memberi sokongan kepada band kegemaran mereka di konsert jelajah Native OneRepublic yang berlangsung di Surf Beach, Sunway Lagoon, Subang Jaya.

Native adalah album ketiga dikeluarkan OneRepublic selain Waking Up yang dikeluarkan pada 2009 dan Dreaming Out Loud (2007).

Malaysia menjadi satu daripada tiga destinasi yang bakal meraikan band berasal dari Colorado Springs itu pada April selain Singapura dan Korea Selatan.

OneRepublic dianggotai Ryan Tedder (vokalis/penulis lirik), Zach Filkins (gitar/vokalis), Drew Brown (gitar), Brent Kutzle (bes/selo/vokalis) dan Eddie Fisher (dram).

Kumpulan yang ditubuhkan pada 2002 itu popular melalui lagu-lagu seperti Counting Stars, If I Lose Myself dan Apologize.

Sejak ditubuhkan, OneRepublic berjaya memenangi anugerah muzik dan dicalonkan dalam pelbagai acara penganugerahan termasuk Grammy, Anugerah Muzik Amerika, dan Anugerah Muzik Billboard.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS