Paling Popular
Terkini

Pelakon dan pengarah Datuk Farid Kamil Zahari hari ini mengaku tidak bersalah atas pertuduhan penyalahgunaan dadah selepas didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini.

Ketika pertuduhan dibacakan di depan majistret Nor Ariffin Hisham, Farid mengangguk tanda faham dan kelihatan tenang saja.

Pelakon Hantu Bungkus Ikat Tepi itu hadir di mahkamah berkenaan ditemani adiknya Fadzil Bahari.

Fazeedah Faik bertindak sebagai timbalan pendakwa raya, manakala Athari Baharudin menjadi peguam bela Farid.

Mengikut kertas pertuduhan, Farid didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya kerana memasukkan bahan larangan berupa dadah jenis THC (Tetra Hydrocannibol) ke badannya.

Jika disabitkan kesalahan dia boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Majistret membenarkan Farid, 36, dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM3,000 sementara menunggu perbicaraan lanjut.

Farid juga diarah menyerahkan passport antarabangsa kepada mahkamah.

Tidak seperti ketika didakwa pada 16 Jan lalu, isteri Farid, Diana Danielle, tidak hadir bersamanya pada hari ini.

Sementara itu ketika diserbu wartawan selepas dibebaskkan dengan jaminan, Farid berkata, dia sudah dapat berjumpa dengan anak-anaknya.

"Semua kita memang duduk serumah pun," katanya.

Farid yang berada dalam kereta ketika itu juga kelihatan cerita menjawab soalan yang diajukan wartawan dari kiri dan kanannya.

Aktor terbabit berkahwin dengan Diana pada 3 Nov 2012 dan hasil perkongsian hidup itu mereka dikurniakan dua anak iaitu Mohammad, 5, dan Nur Aurora, 3.

Kata Farid dia berterima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang tidak putus-putus mendoakan dia dan keluarganya selama ini.

"Saya gembira ada isteri dan anak-anak yang tak berhenti-henti mendoakan keselamatan saya," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS