Lazimnya kedudukan seseorang sebagai penjawat awam - apa lagi dengan kedudukan yang tinggi - memerlukan mereka berpakaian kemas, rasmi dan skema.
Bagaimanapun, hal itu nampaknya tidak berlaku pada penyanyi kumpulan Ungu, Sigit Purnomo Syamsuddin Said.
Dia yang lebih dikenali sebagai Pasha kini berkhidmat sebagai timbalan Datuk Bandar Palu di Sulawesi Tengah. Dia mengisi jawatan itu sejak Feb 2016 selepas memenangi pilihan raya tempatan pada tahun sebelumnya.
Barangkali sesuai dengan kedudukannya sebagai selebriti, Ungu kini tampil dengan gaya rambut yang dianggap tidak sesuai dengan kedudukannya sebagai timbalan datuk bandar.
Bagaimanapun, Menteri Dalam Negeri Tjahjo Kumolo berkata Pasha tidak dianggap melanggar sebarang peraturan dalam soal penampilan yang dibawakannya itu.
"Menurut saya, Pasha sebagai wakil daerah tidak menyalahi undang-undang atau peraturan," kata Tjahjo dalam satu kenyataan.
Menurut Tempo, gaya rambut Pasha, 38, itu sudah menjadi tular di media sosial.
Dalam imej yang beredaran di alam maya itu, vokalis Ungu itu diundang sebagai tetamu sebuah stesen televisyen swasta atas kapasiti rasminya.
Pasha tampil mengenakan pakaian rasmi berwana coklat. Namun, yang menjadi perhatian ialah gaya potongan rambutnya sehingga ia menjadi perbincangan hangat di media sosial.
Alasan mereka, gaya Pasha itu tidak sesuai dengan jawatan yang dipegangnya ketika ini.
Rambut Pasha dibotakkan pada bahagian kiri dan kanan, manakala di bahagian tengah dbiarkan panjang tetapi diikat ke belakang.
Kata Tjahjo, tidak ada masalah jika Pasha memendekkan rambutnya, atau menjadikan kepalanya botak.
“Yang dilarang ialah berambut panjang,” katanya.