[bahagian akhir]
ULASAN l Meskipun nama dan watak Mat Indera bukan watak penting dalam keseluruhan novel Panglima Salleh Selempang Merah dan Penyeberang Sempadan, tetapi ia sudah menggambarkan nama tokoh itu memang "sesuatu" yang wujud dalam pemikiran masyarakat.
Gambaran tentang nama dan watak Mat Indera lebih terserlah dalam novel ketiga, yang ditulis oleh seorang bekas polis, Ismail Johari.
Novel karya Ismail ini terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka pada 1990. Tajuknya, Bukit Kepong. Filem dengan judul yang sama dan diarahkan Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin adalah adaptasi dari novel ini.
Novel Ismail itu pernah dijadikan buku untuk subjek Komsas (Komponen Sastera) bagi pelajar sekolah menengah di seluruh negara.
Dalam novelnya, pengarang menggunakan nama Madera sebagai menggantikan Mat Indera. Ini disahkan sendiri oleh Ismail semasa saya menemu bual beliau ketika dalam pembikinan buku Mat Indera - Pejuang Atau Petualang.
Hidup dalam novel
Langkah pengarang tidak menggunakan nama sebenar seseorang dalam peristiwa itu untuk mengelakkan sebarang sentimen di kemudian hari.
Nama Mat Indera ataupun Madera tercatat lebih 50 kali dalam kira-kira 20 halaman novel tersebut. Namanya tertera bermula dari muka surat 68.
Berbeza dengan dua pengarang sebelum ini, Ismail menjadikan Mat Indera suatu watak yang hidup. Mat Indera bukan watak pasif. Mat Indera hidup dalam plot novel.
Watak Mat Indera ditonjolkan secara langsung melalui dialog, perlakuan dan juga melalui penceritaan.
Pengarang mula memperkenalkan Mat Indera melalui babak orang suruhan Mat Indera bertemu dengan Penghulu Ali. Mat Indera diceritakan sebagai ketua komunis Melayu yang sangat dikehendaki oleh pihak berkuasa di Muar.
Mat Indera adalah seorang bekas aktivis Kesatuan Pekerja Pelabuhan Muar yang memilih hidup serta bergerak di dalam hutan berbanding meringkuk di penjara.
Pengarang menulis: "Penghulu Ali cukup marah kerana Madera cuba mengganggu kedamaian Bukit Kepong".
Suruh polis menyerah
Mat Indera dibantu rakan karibnya, Kadir Marie (watak "Kandar" dalam novel Ismail) untuk menarik pengaruh orang Melayu melalui ceramah-ceramah agama.
Maklumat yang diperolehi daripada Mat Indera dan dua anggota lain dalam Parti Komunis Malaya (PKM) sangat penting untuk melaksanakan serangan ke atas Balai Polis Bukit Kepong. Mat Indera membuat kerja-kerja awal sebelum serangan tersebut.
Dalam serangan ke atas Balai Polis Bukit Kepong, Mat Indera berperanan sebagai ketua komunikasi di bawah arahan ketuanya yang bernama Lausan.
Penulis novel itu menggambarkan peranan Mat Indera dalam novel tersebut seperti berikut: “Eh, Madera, suruh polis serah diri,” perintah Lausan. Madera mengambil pembesar suara dan menghalakan ke arah rumah pasung.
"'Awak, polis, serah diri! Awak sudah dikepung! Letak senjata kalau mahu selamat!' Madera menjerit kuat memerintahkan supaya polis menyerah kalah dan meletakkan senjata."
Begitu juga sewaktu serangan dibuat, Mat Indera menghantar nota kepada anggota polis yang masih bertahan supaya menyerah diri.
Nota itu ditulis sendiri oleh Mat Indera dan diserahkan kepada salah seorang anggota keluarga polis yang ketika itu berada di bawah kawalan Mat Indera.
Selamatkan orang kampung
Peranan Mat Indera seterusnya ialah membuat pemeriksaan selepas tembakan balas dari rumah pasung semakin berkurangan. Mereka hendak membakar rumah pasung tersebut.
Mat Indera menyaksikan beberapa anggota polis dan ahli keluarga mereka terkorban.
Dalam babak inilah Mat Indera membawa isteri dan keluarga anggota polis yang masih hidup keluar daripada terperangkap dalam pertempuran itu.
Antara orang yang dibawa anggota Mat Indera ialah Pon Khalid, Fatimah Lawa, Mariam Ibrahim dengan anaknya yang bernama Zaleha dan Abu Samah, anak Abu Ali yang terkorban iaitu Jamilah dan Hussain.
Awalnya arahan Mat Indera itu enggan dipatuhi, tetapi setelah dipaksa, barulah mereka beredar dari kediaman masing-masing.
Penulis novel itu juga menerangkan tentang peranan Mat Indera. Antaranya seperti berikut: "Madera dan beberapa orang anggotanya tiba di tempat Yusuf Rono dan EPC Ahmad Khalid terbaring. Dikuis-kuisnya kedua-dua badan tersebut. Jelas mereka masih bernafas. Seorang daripada pengganas komunis yang mengiringi Madera tadi sudah bersiap sedia hendak menghayun bayonetnya untuk menikam tubuh Yusuf Rono dan EPC Ahmad Khalid. Belum sempat mereka membenam bayonet itu ke tubuh kedua-dua anggota polis tadi, mereka ditegah oleh Madera. Madera melarang anggotanya menikam Yusuf Rono dan EPC Ahmad Khalid. Perintah Madera tersebut dapat didengar sayup-sayup oleh Yusuf Rono."
Babak-babak ini memperlihatkan watak sebenar Mat Indera di sebalik sifat antagonisnya.
Rumah pasung rentung
Mat Indera adalah watak yang menyelamatkan mereka yang terperangkap daripada turut terkorban. Mangsa-mangsa yang dibawa Mat Indera itu sajalah yang terselamat, manakala bakinya habis terbunuh.
Kekuatan anggota komunis ketika serangan itu besar - hampir 200 orang - berbanding kekuatan polis sekitar 25 orang.
Mangsa yang selamat itulah antara yang bercerita tentang "kebaikan" Mat Indera.
Peranan terakhir Mat Indera dalam serangan Bukit Kepong ialah meniup bugle (sejenis trompet) sebagai tanda serangan mereka sudah berakhir.
Serangan Bukit Kepong berakhir kira-kira jam 8 pagi, setelah hampir tiga jam kedua-kedua pihak bertempur. Sewaktu bantuan sampai di tempat kejadian, yang tinggal hanyalah abu serta sisa runtuhan rumah pasung yang terbakar.
Yang kedengaran pula hanya suara tangisan dan kesakitan. Asap berkepul-kepul naik ke awan. Dan perjalanan Mat Indera selepas itu juga berakhir di tali gantung di penjara Taiping pada 30 Januari 1953.
Lebih setahun Mat Indera menjadi orang buruan dan pelarian di buminya sendiri. Namun cerita Mat Indera tidak mati di situ.
Cerita Mat Indera terus ada. Ceritanya ada bukan dalam buku sejarah tetapi di mahkamah, novel, filem, pentas forum dan sebagainya.
Ketiga-tiga novel ini adalah novel sejarah. Novel sejarah bukanlah sejarah. Novel sejarah adalah novel yang menggunakan latar belakang sejarah sebagai plot cerita.
Seperti juga tulisan saya ini, bukanlah bahan sejarah. Ia mungkin sebuah tulisan yang mengambil latar belakang sejarah sebagai kerangka idea. Adanya idea, tanda kewujudan diri.
DR MUHAIMIN SULAM seorang aktivis politik, pensyarah di Universiti Teknologi Petronas penulis buku serta esei.
Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya membayangkan pendirian Malaysiakini.