Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

ULASAN l Pada tanggal 30 Januari 1953, Mat Indera digantung hingga mati di Penjara Taiping. Beberapa hari lagi genaplah 64 tahun kejadian itu berlalu. 

Sewaktu saya membuat kajian tentang Mat Indera pada 2012, seorang mak cik di Kampung Parit Warijo, Muar, bertanya: "Sudah lama orang itu mati, mengapa ditanya-tanya lagi?" 

Langsung terhenti saya hendak bertanya lebih lanjut.

Saya dapat siapkan juga kajian itu, dan hasilnya buku yang bertajuk "Mat Indera - Pejuang Atau Petualang" diterbitkan oleh Al Jundi Resources. 

Buku itu mengupas sejarah tentang Mat Indera. Kebetulan ketika itu isu Mat Indera meletup apabila pidato timbalan presiden PAS ketika itu Mohamad Sabu disensasikan media. 

Keadaan bertambah panas apabila kes tersebut masuk ke mahkamah.

Hukum dengan mudah

Beberapa bulan lepas kes mahkamah Mohamad diputuskan menyebelahinya. Apakah itu petanda bahawa perjuangan Mat Indera adalah perjuangan yang benar? Apakah ini bermakna serangan ke atas Balai Polis Bukit Kepong sesuatu yang wajar? 

Pelbagai persoalan timbul tanpa penjelasan atau jawapan tuntas. Paling popular ialah pendekatan menghukum secara mudah. 

Jarang sekali membuat penelitian, kajian dan penyelidikan.

Suatu ketika bertempat di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), saya menziarahi Sasterawan Negara Datuk Dr Anwar Ridhwan dalam rangka mengembangkan rantaian hubungan PAS dengan khalayak penulis tanah air. 

Meskipun ziarah kami bermotif politik namun seluruh perbualan kami adalah tentang dunia sastera dan penulis. 

Di akhir pertemuan itu, Anwar menghadiahkan senaskhah novelnya bertajuk "Penyeberang Sempadan" terbitan bersama Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) serta Utusan Publication sebagai tanda kenangan pertemuan. 

Saya pula menghadiahkan buku tentang Mat Indera tulisan saya. Itulah dinamakan politik matang dan sejahtera. (Maaf, jika saya angkat bakul sendiri).

Berjuang bersama PKM

Anwar menyebutkan bahawa dalam novel "Penyeberang Sempadan" itu ada beliau sebutkan nama Mat Indera. Ia memang sesuatu yang menarik. 

Menurut beliau, novel itu diterbitkan lebih awal daripada kes Mohamad. Maknanya novel itu tiada kena mengena dengan kes presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) tersebut, tidak seperti buku yang saya tulis. 

Saya tulis buku berkenaan selepas kes berkenaan 'meletup' dan untuk memenuhi pertanyaan yang tidak terjawab secara adil.

Watak utama dalam novel "Penyeberang Sempadan" ialah Kuay - seorang pejuang zaman darurat yang mengangkat senjata bersama pasukan Parti Komunis Malaya (PKM) menentang penjajah. 

Kuay adalah antara orang yang dikehendaki oleh Inggeris sepertimana Mat Indera. 

Novel itu mendapat ilham daripada perkenalan Anwar dengan beberapa pelarian Parti Komunis Indonesia di Moscow, dijalin dengan pengalaman hidup Shamsiah Fakeh serta Ibrahim Chik. 

Novel ini adalah kisah seorang pejuang yang mencari kebenaran dalam hidupnya sehingga memaksa dia menjadi pelarian dari satu negara ke satu negara lain. 

Hidupnya penuh keterasingan dan persembunyian. Pelarian yang memakan masa berpuluh-puluh tahun itu akhirnya menemuikan kebenaran yang selama itu dicari. 

Panglima Salleh Selempang Merah

Nama Mat Indera dicatat di perengaan kedua pada muka surat 191. Nama Mat Indera dicatat sebanyak tiga kali dalam perenggan yang sama itu. 

Anwar menulis: "Kuay, menurut risikan pasukan kolonial Inggeris, lebih banyak bergerak di bahagian utara dan Pahang. Kuay tidak pernah bergerak di wilayah selatan. Wilayah selatan dikuasai Mat Indera, bukan Kuay. Itu pasukan kolonial tahu benar. Sebab itu Kuay tidak bersama-sama gerombolan dua ratus lima puluh orang tentera Mat Indera menyerang Balai Polis Bukit Kepong pada hari Khamis 23 Februari 1950 yang lalu. Mat Indera ada wilayahnya. Kuay pun ada wilayahnya." 

Novel kedua yang mencatatkan watak atau nama Mat Indera ialah karya Zaharah Nawawi yang bertajuk "Panglima Salleh  Selempang Merah". 

Novel itu ialah hasil projek yang dibiayai oleh Dermacipta di bawah Dewan Bahasa dan Pustaka pada 1988. 

Novel itu adalah juga sebuah karya sejarah berdasarkan cerita, watak dan tempat sebenar. Beberapa nama watak ditukar namanya kerana orang terbabit enggan namanya dikenali. 

Namun terdapat juga watak menggunakan nama yang sebenar, seperti Dato Onn Jaafar dan Mat Indera.

Banjar sama Melayu Siak

Nama Mat Indera muncul pada helaian-helaian terakhir "Panglima Salleh  Selempang Merah". Namun watak itu ditulis secara pasif. Mat Indera hanya diceritakan, bukan sebagai watak yang hidup. 

Watak Mat Indera muncul dalam nastolgia Esah yang sedang bersembang dengan suaminya Kiai Haji Salleh.

Pada halaman 392, Zaharah menulis seperti berikut: 

“Ada seorang komunis Melayu. Mat Indera namanya," Esah memulakan bicara. "Kau tentu kenal Mat Indera."

"Ya. Aku kenal dia. Dia antara orang kita kalis jais. Tidak mahu kembali ke pangkal jalan," Penghulu Salleh tunduk memandang lantai."

Kiai Salleh atau pun yang dikenali sebagai dengan nama Penghulu Salleh, Panglima Salleh atau Khalifah Tentera Selempang Merah memang sezaman dengan Mat Indera. 

Jika Kiai Salleh berketurunan Banjar, Mat Indera pula Melayu Siak. Kedua-duanya sama senegeri tetapi berbeza jalan perjuangan. 

Dalam novel tersebut, watak Mat Indera digambarkan sebagai orang yang tidak mendengar kata nasihat. 

Zaharah menggunakan istilah "kalis jais" untuk Kiai Salleh melakar sikap Mat Indera. Dalam novel itu Zaharah menceritakan bahawa banyak perancangan Mat Indera untuk menyerang perkampungan di sekitar kawasan Muar digagalkan oleh Kiai Hj Salleh. 

Salah satunya ialah rancangan Mat Indera melancarkan serangan ke kampung-kampung di seluruh Mukim Empat terutama Parit Maimoon. 

Mat Indera membatalkan rancangan untuk melakukan serangan kerana Kiai Salleh sudah lebih awal menghidu dan membuat kawalan di pintu masuk kampung tersebut. 

Begitu juga, Mat Indera terpaksa membatalkan serangan ke atas Pontian kerana Kiai Salleh terlebih dahulu memaklumkan pada pemimpin tempatan supaya membuat persiapan menghadapi serangan Mat Indera. 

Cuma serangan Mat Indera ke atas Bukit Kepong tidak dapat dielakkan kerana pimpinan tempatan di Bukit Kepong tidak menghiraukan amaran yang diberikan Kiai Salleh sebelum itu.

[Bersambung esok]


DR MUHAIMIN SULAM seorang aktivis politik, pensyarah di Universiti Teknologi Petronas penulis buku serta esei.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya membayangkan pendirian Malaysiakini.


 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS