Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Mahkamah Rayuan hari ini mengakaskan keputusan (reversed the decision) Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan menarik balik pengharaman empat novel Faisal Tehrani.

Mahkamah Rayuan juga mendapati Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mencabul kebebasan bersuara pengarang terkenal itu.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Tengku Maimun Tuan Mat berkata ketiga-tiga mereka telah membaca buku itu dan tidak menjumpai bahagian yang berbahaya kepada awam atau menjejaskan keselamatan – yang menjadi sebab pengharamannya.

Panel lain termasuk hakim Datuk Ahmadi Asnawi dan Zaleha Yusof.

Faisal atau mana sebenarnya Mohd Faizal Musa mencabar pengharaman empat bukunya, iaitu:

  • Sebongkah Batu di Kuala Berang terbitan PTS Litera Utama Sdn Bhd
  • Karbala terbitan Abeerden Books World
  • Tiga Kali Seminggu terbitan Al-Ameen Serve Holdings Sdn Bhd
  • Ingin Jadi Nasrallah terbitan Al-Ameen Serve Holdings Sdn Bhd

Pengharaman itu diwartakan oleh KDN tiga tahun lalu.



Pada 8 Ogos 2016, Mahkamah Tinggi telah menolak cabaran terhadap pengharaman itu.

Zaleha, yang menulis penghakiman itu mempersoalkan bahagian mana yang tidak disenangi oleh KDN dalam novel-novel itu.

“Dengan hanya berkata responden mengikuti keputusan Jawatankuasa Fatwa, pada pandangan kami, tidak cukup untuk membuktikan sama ada buku-buku itu memudaratkan ketenteraman awam dan keselamatan kerana fatwa tidak merujuk kepada buku-buku itu.

“Sebagai kesimpulan, kami hendak sekali lagi menegaskan bahawa kami mengambil kira apa yang sah secara undang-undang berdasarkan norma dan prinsip undang-undang.

“Berdasarkan keadaan dan fakta-fakta kes, kami justeru, mendapati arahan itu tidak dibuat berdasarkan Seksyen 7(1) Akta Penerbitan dan Mesin Cetak 1984 dan justeru itu tidak sah,” kata Zaleha.

“Kami juga mendapati arahan itu sebagai sekatan hak perlembagaan dan hak asasi kebebasan bersuara terhadap perayu.”

Zaleha berkata walaupun kebebasan bersuara tidak mutlak, hakim-hakim bersetuju dengan peguam Faisal bahawa mahkamah harus memberi keutamaan padanya.

Mahkamah Rayuan juga mengarahkan kos RM20,000 untuk dibayar kepada sarjana sastera berkelayakan doktor falsafah itu.

Penulis yang berkhidmat sebagai pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu diwakili oleh Abdullah Abdul Rahman manakala KDN diwakili oleh peguam kerajaan Shamsul Bolhassan.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS