Tuah orang kadang-kadang datang tanpa diduga. Begitu barangkali takdir yang berkunjung buat pelakon dan hos TV dikenali ramai, Iqram Dinzly.
Mencetuskan polemik di kalangan orang ramai dengan aksi yang sukar dijelaskan, hari ini Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad menjemput Iqram untuk bertemu.
Tujuan Zulkifli adalah mudah. Beliau mengajak Iqram bersemuka untuk saling berkenal-kenalan serta berbincang mengenai situasi yang dijadapi artis terbabit.
"Mungkin ada sisi-sisi tertentu yang boleh kami usahakan bantuan dan sokongan," kata Zulkifli.
Perangai Iqram dikatakan mula menjadi perhatian ramai sejak Oktober lalu apabila dia melakukan pelbagai aksi yang pelik.
Perubahan itu dikatakan berlaku selepas bapanya, Muhammad Saipuddin Seri Ahmad Said meninggal dunia kerana diabetes, darah tinggi serta angin ahmar pada 10 Oktober.
Seperti selalu akan muncul pelbagai teori dan spekulasi yang melatari perubahan itu. Antaranya Iqram dituduh beramal dengan ajaran sesat, manakala pihak lain menganggap dia mengalami tekanan atau kemurungan.
Pengarah dan pelakon terkenal, Erma Fatima, tetap percaya Iqram masih individu yang sama pernah dikenalinya dahulu.
"Aku tak percaya! Biar apa pun kata mereka aku tetap tak percaya. Di mana jua kau berada dik, akak percaya kau tahu apa yang sedang kau lakukan," kata Erma.
Zulkifli berkata beliau yakin Iqram seorang lelaki yang tabah menghadapi ujian kematian bapanya.
Pada masa sama mufti terbabit yang turut aktif merahami orang ramai melalui media sosial memberitahu, pihaknya sedar ramai mencemuh Iqram.
Justeru kata Zulkifli Iqram sebaiknya jangan mempedulikan kata nista itu sebaliknya mendekatkan diri dengan al-Quran serta memperbanyakkan zikir.
"Saudara adalah seorang yang melazimi zikir. Itu adalah hal yang amat baik kerana hanya dengan mengingati Allah SWT, jiwa akan menjadi tenang," katanya.
Di kaca TV Iqram pernah muncul sebagai hos program Jalan-jalan Cari Makan pada 2012, selain berlakon siri Janji Diana (2006), Puteri Aurora (2011) dan Janji Shirah (2013).
Iqram turut pernah muncul dalam filem seperti 1957: Hati Malaya (2007) dan Evolusi KL Drift (2008) serta Apokalips X (2011).