Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Selebriti kontroversi Azwan Ali mengakui pernah menyatakan cita-citanya menjadi perdana menteri puluhan tahun silam.

Kata-kata itu kemudian terpapar menjadi salah satu berita dimuatkan dalam sebuah majalah hiburan terbitan 26 tahun lalu.

Hari ini siapa yang tidak kenal kepada Azwan. Apatah lagi apabila dia membuat kemunculan 'panas' pada Rabu lalu ketika Pemuda, Wanita dan Puteri Umno bersidang di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Hari ini, bekas pengacara sensasi dan masih diingat atas peranannya memeriahkan rancangan Muzik Muzik serta Juara Lagu TV3 itu muncul lagi.

Ditanya Malaysiakini mengenai impian hampir tiga dekad itu Azwan mengakui ia sekadar igauan dan tidak mungkin tercapai.

Kata Azwan, ini kerana tidak mungkin beliau boleh menjadi pemimpin nombor satu negara di saat status jantinanya dipersoalkan orang ramai.

Jangan terkejut kalau...

“Sebenarnya itu igauan mimpi. Sesiapa pun akan ada igauan macam mimpi, tapi tak salah kalau satu hari nanti saya bergelar perdana menteri.

“Cumanya, dengan saya punya kontroversi, cemuhan-cemuhan jantina saya, saya rasa mustahil saya akan diterima sebagai perdana menteri.

“Saya terlalu kontroversi kerana saya terjebak dengan gelaran pondan, bapuk dan benda ini bukan lagi rahsia. Ia sudah tular dan pasti orang akan cakap: takkanlah perdana menteri bapuk,” kata Azwan berterus-terang.

Azwan mencipta nama dalam dunia hiburan dengan kemunculannya sebagai pengacara di TV3.

Memperoleh kelulusan ijazah sarjana muda dalam bidang undang-undang imej Azwan memang masih dikenang ramai terutama di kalangan peminat berusia antara 40-an 50-an.

"Jangan terkejut kalau Azwan katakan bahawa cita-cita Azwan adalah untuk menjadi perdana menteri" katanya dipetik Media Hiburan pada 11 Mei 1991.

Mengulas lanjut, Azwan berkata penghinaan bahawa dirinya seorang “bapuk” itu jugalah yang membunuh angan-angan beliau untuk menjadi perdana menteri.

“Saya rasa penghinaan itulah yang membunuh angan-angan saya.

"Saya rasa tak mungkinlah (jadi perdana menteri), ditambah dengan usia yang semakin meningkat ini.

“Tapi kalau jadi, kau jangan terkejut. Datuk Seri Najib, saya ada gaya ke ganti tempat you?” kata Azwan dalam nada bergurau.

Tak pernah kena cekup

Namun kata Azwan yang tidak pernah sunyi dari kontroversi itu beliau kini tidak lagi kisah dengan cita-cita tersebut.

Sebaliknya, Azwan memasang tekad untuk sama-sama bangkit dengan presiden Umno, Najib, memperjuangkan bangsa dan tanah air.

“Tapi saya tak kisah kalau sampai mati pun saya tak jadi perdana menteri, cuma saya ingin menjadi pejuang bangsa dan dia akan dizahirkan dalam perspektif yang banyak.

“Ia tak semestinya jadi ADUN (anggota dewan undangan negeri) atau senator. Itu semua mengarut, tak payah.

“Kita nak dia (Najib) terus berjuang. Siapa pun jadi perdana menteri tolong belajar hormat boleh tak?" katanya.

Azwan juga turut mengingatkan semua pihak agar tidak sewenang-wenangnya menghina pentadbiran Najib.

“Kita tak perlu mencaci dan menghina, untuk menentang seorang perdana menteri, ya saya pun buat kerja yang sama, tapi saya hentam Datuk Seri Najib untuk perkara-perkara yang saya rasa patut hentam.

“Saya minta maaf kalau Datuk Seri Najib rasa tersinggung tapi pernah ke SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia) cekup saya? Tak pernahkan?

“Sebab saya tak mencaci dia, isteri dia ke, atau 1MDB apa segala mak, neneklah. Tapi kau, tak ada bukti. Kau ada bukti nak kata dia (Najib) main duit?" katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS