Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Fathia diugut dengan 'peluru'
Diterbitkan:  Dec 9, 2017 1:58 PM
Dikemaskini: 7:38 AM

Namanya masih disebut-sebut oleh orang ramai dan perbahasan perwakilan Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra Putra (PWTC) turut memberi perhatian kepada dirinya.

Dalam suasana begitulah sebentar tadi Fathia Latiff mendedahkan bagaimana dia diserang dan diugut, malah kedengaran membahayakan.

Melalui Twitter Fathia berkata ada seorang lelaki berkepala botak membaling rantai ke arahnya, malah mengenai bahu pelakon itu.

Malah kata Fathia lelaki terbabit sempat memberi amaran: "Jangan sampai peluru aku sampai kat kau."

Tidak dapat dipastikan punca atau di mana kejadian berkenaan berlaku.

Ketika ini katanya dia mengalami trauma akibat serangan berkenaan.

Malaysiakini sedang cuba menghubungi Fathia untuk mendapatkan lebih banyak maklumat mengenainya.

 

 

Sejak beberapa hari lalu nama Fathia disebut-sebut ramai, malah dibangkitkan semasa perbahasan di Perhimpunan Agung Umno yang sedang berlangsung sekarang.

Puncanya dia mempertikaikan cadangan pihak tertentu untuk mendakwa Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung skandal aktiviti perdagangan mata wang asing (forex) yang berlaku kira-kira 30 tahun lalu.

Dia juga menggunakan laman sosial untuk membangkitkan isu kenaikan harga minyak.

Kelmarin seorang pewakilan Puteri Umno menegur Fathia kerana didakwanya "menyibuk" dalam hal kerajaan.

“Setakat pegang telefon, picit, tulis taip tak payah. Dia boleh duduk diam-diam. Betulkan lakonan (dan) hidup dia dulu, tak payah sibuk hal kerajaan,” kata Dira Abu Zahar yang juga exco Puteri Umno Tangga Batu di Melaka.

Mengulas mengenai pendirian itu, Fathia berkata, dia menghormati Dira - juga seorang pelakon - untuk memberi pendapat, namun tetap mempertahankan pandangan yang diberikannya sebelum ini.

Dalam kemas kini kemudian, Fathia mendakwa dia mengenali lelaki terbabit namun enggan mendedahkan maklumat mengenainya di Twitter.

"Saya perlukan pengawal peribadi!!!" katanya lagi


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS