Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Disindir pedas tapi Fathia hormati hak bersuara Puteri Umno
Diterbitkan:  Dec 7, 2017 1:17 PM
Dikemaskini: 5:28 AM

Seakan menunjukkan teladan yang sepatutnya, Fathia Latiff tidak melenting atau melatah dengan kritikan balas yang diterima ekoran kenyataan dibuatnya mengenai isu semasa baru-baru ini.

Ditegur rakan sebidangnya semalam, Fathia berkata, dia menghormati hak seseorang untuk bersuara.

Namun, kata pelakon drama bersiri Rumi & Jawi itu dia tetap tidak berganjak dengan pandangannya sebelum ini.

“Dira mempunyai hak untuk berkata apa saja apa yang dia mahu dan saya juga begitu. Tetapi satu perkara yang pasti, saya tetap dengan apa saja yang pernah saya katakan, tanpa rasa takut atau pilih kasih daripada sesiapa,” katanya.

Semalam semasa persidangan Pergerakan Puteri Umno Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra, seorang artis, Dira Abu Zahar, menegur Fathia yang didakwanya membuat "dakyah-dakyah ringan" dan tidak ikhlas untuk bercakap mengenai keluh-kesah rakyat.

Dira yang juga exco Puteri Umno Tangga Batu di Melaka berkata Fathia tidak tahu apa-apa pun dan jika benar mahu memperjuangkan nasib rakyat pelakon terbabit perlu mencontohi Puteri Umno yang turun padang.

“Setakat pegang telefon, picit, tulis taip tak payah. Dia boleh duduk diam-diam. Betulkan lakonan (dan) hidup dia dulu, tidak payah sibuk hal kerajaan,” katanya.

Untuk rekod Dira adalah pelakon yang pernah muncul dalam filem seperti Lari, Longkai dan Papadom.

 

 

Terdahulu Fathia menggunakan media sosial untuk mengulas nasib dihadapi bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang dikaitkan dengan skandal dagangan tukaran mata wang asing (forex).

"Selepas berpuluh-puluh tahun Tun (Mahathir) berkhidmat pada negara baru nak dakwa? Inilah dinamakan bijak?" soal Fathia atau nama penuhnya Nur Fathia Abdul Latiff, di Twitter pada 1 Dis lalu.

Sebelum itu Fathia juga bersuara lantang mempersoalkan kenaikan harga minyak yang meningkat.

Dalam status dimuat naik pada 8 Nov lalu Fathia mengajukan soalan yang pada masa sama seolah-olah berbaur luahan kepada pengikutnya di Twitter.

“Minyak naik lagi RM2.31 sen! Sapa (siapa) sakit hati? Ke tak rasa apa-apa sebab dah immune (biasa)?” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS