Selama dua tahun, hampir setiap hari Siti Sarah Raisuddin terasa benar 'kehilangan' suaminya setiap subuh dan ia terpaksa direlakan demi tanggungjawab mencari rezeki.
Kata Siti Sarah, tugas sebagai penyampai di Sinar FM memerlukan Shuib meninggalkan dirinya dan rumah mereka sejak jam 5 pagi setiap Isnin hingga Jumaat.
Namun keadaan itu sudah berubah. Semuanya kembali seperti sepatutnya apabila Shuib secara rasmi mengundurkan diri daripada tugas sebagai penyampai Sepahtu Sinar mulai 29 Nov lalu.
Sebagai isteri kepada seorang Shuib, perasaan penyanyi itu kini sebenarnya bercampur baur.
"Saya orang paling takut apabila Shuib memberitahu dia nak berhenti daripada Sinar FM, sebab saya tahu dia memang suka menjadi penyampai radio.
"Tetapi saya juga gembira kerana dia begitu ceria dan kembali fokus untuk mengerjakan apa yang tak dapat dilakukan sepenuhnya sebelum ini, seperti menjayakan program Sepahtu Reunion," katanya.
Siti Sarah, 33, ditemui pada sidang media memperkenalkan dia sebagai duta produk penjagaan rambut Sugardoll di Kuala Lumpur semalam.
Baru-baru ini Shuib mengejutkan peminat Sepahtu dan Sinar FM apabila mengumumkan keputusannya menarik diri daripada slot harian berkenaan.
Langkah itu diambil ekoran insiden Siti Sarah yang mengalami masalah tekanan darah rendah yang serius secara tiba-tiba.
Dah cuba produk 5 bulan
Difahamkan amalan diet berlebihan oleh Siti Sarah turut menyumbang kepada insiden berkenaan.
Menurut Shuib dia benar-benar cemas dengan keadaan Siti Sarah ketika itu.
Bagaimanapun Siti Sarah kembali pulih selepas dirawat di hospital.
Berkongsi lanjut mengenai Shuib, kata Siti Sarah, pengunduran suaminya itu daripada bergandingan dengan Jep dan Rahim membuka peluang untuk mereka menyempurnakan beberapa hasrat yang lama terpendam.
"Shuib ingin mencari rezeki lebih supaya dapat membantu golongan kurang bernasib baik," katanya.
Mengenai amalan pemakanannya, Siti Sarah berkata, dia cuma manusia biasa yang kadang kala apabila terlalu sibuk sampai lupa mengisi perut mengikut waktu sepatutnya.
Keadaan itu juga membuatkan Sarah mengambil pendekatan memohon maaf daripada Shuib kerana bimbang andai perkara lebih buruk mungkin berlaku.
"Saya tidak pernah mengalami penyakit sebegini. Saya terus memohon maaf kepada Shuib," katanya.
Sementara itu, Sarah yang dipilih sebagai duta Sugardoll selama setahun berkata dia telah menggunakan produk itu sejak lima bulan lalu.
"Memang ada syarikat lain menawarkan peluang untuk menjadi duta mereka tetapi saya memilih Sugardoll kerana mendapati produk itu berjaya mengurangkan masalah rambut gugur yang saya hadapi," katanya.