Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Mahathir puji Sheila bersuara untuk Malaysia
Diterbitkan:  Dec 5, 2017 8:19 PM
Dikemaskini: 12:36 PM

Tun Dr Mahathir tampil memuji sikap ditunjukkan Ratu Jazz Malaysia Datuk Sheila Majid yang petang tadi menyatakan pandangan mengenai keadaan semasa rakyat di negara ini.

Kata Dr Mahathir ketika ini satu demi satu ikon Malaysia tampil menyatakan pandangan demi masa depan negara.

Sebelum ini katannya pelakon Fathia Latiff dan pengacara terkenal Datuk Aznil Nawawi.

Kini kata bekas perdana menteri selama 22 tahun itu muncul pula Sheila.

"Masa depan terletak di tangan anda. Kalau bukan kita, siapa lagi?" katanya melalui Twitter dengan mengepilkan kenyataan dibuat penyanyi Sinaran berkenaan.

 

 

Terdahulu Sheila yang selama ini dikesan tidak menyentuh apa-apa isu mengenai politik mengeluh mengenai keadaan ekonomi negara yang dirasakannya buruk.

"Makanan mahal, nilai ringgit lemah, kos sara hidup tinggi dan pekerjaan pula kurang.

"Rakyat Malaysia sudah bosan dan marah kerana diperah akibat hutang yang bukan berpunca daripada kami," katanya tanpa merujuk mana-mana pihak.

Fathia pula semalam menyatakan pandangannya mengenai Dr Mahathir.

"Saya lebih kagum dengan Tun, mempertahankan maruah negara walaupun ramai yang sudah lupa pada sumbangan Tun yang tiada nilai dengan wang ringgit.

“Saya juga sedih dengan segilintir manusia yang tak menghargainya.Tetapi tidak mengapa, orang yang tidak buta hati masih dapat menilai, Insya-Allah,” katanya.

Setakat berita ini ditulis, tweet Sheila itu diulang lebih 6,000 kali dan disukai hampir 4,000 akaun.

Kenyataan itu hadir ketika anggota dan penyokong Umno menunggu-nunggu bermulanya perhimpunan agung parti itu yang akan dirasmikan presiden mereka, Datuk Seri Najib Razak, pada Khamis ini.

Malam ini sayap-sayap Umno - Pemuda, Wanita dan Puteri  - akan dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sebelum mereka bersidang seharian esok.

Perhimpunan kali ini dianggap penting kerana Umno dijangka berdepan dengan cabaran lebih getir pada pilihan raya umum ke-14 tidak lama lagi.

Dr Mahathir kini menjadi seorang daripada pengkritik tegar kerajaan pimpinan Najib.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS