Datuk Seri Siti Nurhaliza dan penyanyi terkenal Indonesia, Krisdayanti semenangnya diketahui menjalinkan hubungan akrab sejak sekian lama.
Justeru, tidak menghairankan apabila Krisdayanti selaku seorang sahabat tumpang gembira mendengar berita kehamilan Siti yang telah menunggu lebih 10 tahun untuk memiliki cahaya mata.
Menerusi laporan media, Krisdayanti menyarankan Siti mengamalkan bacaan surah Yusuf dan berharap anak yang bakal dilahirkan menjadi seorang rupawan seperti ibu bapanya.
“Jadi saya sarankan, untuk perkongsian. Saya suruh baca ayat suci al- Quran Surah Yusuf. Semoga anaknya comel,” katanya seperti dilapor Tribunnews.
Selain itu, Krisdayanti turut mengirim gambar anak-anak masyarakat Lubnan yang terkenal dengan kecantikan dan memiliki mata bulat untuk tatapan Siti setiap hari.
“Mudah-mudahan anak Siti nanti seperti keturunan Lubnan,” katanya.
Sebenarnya, Krisdayanti mengetahui kehamilan penyanyi Cindai itu lebih awal namun tidak mahu membocorkan berita itu kepada pengetahuan umum.
“Jadi Alhamdulillah memang saya sudah mengetahui tentang kehamilan itu sejak bulan pertama lagi.
“Sebagai sahabat saya sangat menyokong karier Siti dan memang beliau sudah bertahun-tahun berusaha memiliki anak," katanya.
Menurut penyanyi lagu Menghitung Hari itu, Siti menyimpan rahsia mengenai kehamilan berkenaan selepas mendengar nasihat ustaz.