Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Kaji semula seni 'haram' kuda kepang
Diterbitkan:  Oct 12, 2017 4:33 PM
Dikemaskini: 8:37 AM

Yayasan Warisan Johor (YWJ) diminta mengkaji semula peranan seni tarian kuda kepang yang diharamkan fatwa Johor pada Mei 2009.

Gesaan itu diutarakan oleh penggiat seni budaya dan pelukis Mahdzir Ibrahim melalui surat kepada yayasan itu pada 9 Oktober lalu, yang lampirannya dikongsi dengan Malaysiakini hari ini.

Anak kelahiran Johor itu antaranya membangkitkan sejarah awal seni itu yang menurutnya digunakan bagi tujuan dakwah.

“Kuda kepang diasaskan oleh tokoh-tokoh Islam ratusan tahun dahulu, yang ketika itu menggunakan kesenian ini untuk menyampaikan dakwah Islam kepada masyarakat.

“Zaman itu, persembahan kuda kepang ini dapat menghimpunkan masyarakat di satu tempat dan masa. Inilah peluang yang digunakan untuk menyampaikan dakwah.

“Perkara magis atau dianggap khurafat dan sesat hanya berlaku selepas budaya Hindu dan Jawa diadun kemudian diserap masuk ke dalam kuda kepang. Selepas era itulah kuda kepang menyimpang daripada tujuan asal,” katanya.

Mahdzir yang juga pengarah pendidikan politik DAP Johor berkata, hakikatnya kuda kepang sekadar tarian dengan iringan muzik bertujuan memberi hiburan dan penghayatan estetika kepada penonton.

Katanya, tanpa magis dan mantra, tarian kuda kepang masih mampu menghiburkan.

“Bagi saya, seni itu tidak punya apa-apa dosa, hanya apabila kita sengaja memasukkan nilai-nilai kerohanian atau amalan dari sumber yang bercampur baur, maka ia berubah dari tujuan asal,” katanya.

Mahdzir yakin dengan sumber dan keupayaan YWJ, kajian lebih menyeluruh dan adil berkaitan peranan seni budaya kuda kepang dapat dijalankan.

“Memelihara tradisi ini penting kerana tanpa memelihara tradisi, bangsa kita tidak mempunyai apa-apa nilai sejarah lagi. Sudahlah hidup susah, identiti bangsa pun hilang.

“Bangsa yang gagal adalah bangsa yang tidak memelihara kebudayaannya. Inilah tujuan kita, tujuan Yayasan Warisan Johor. Jika tidak, untuk apa YWJ ditubuhkan,” katanya.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan reaksi YWJ berkaitan saranan itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS