Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Di mata sesetengah orang mungkin sudah tiba masanya untuk Sheeda meninggalkan seni suara selepas berkecimpung dalam dunia itu selama bertahun-tahun.

Kini berusia lebih awal 50-an, Sheeda menegaskan, hakikatya belum ada sesiapa meminta dia bersara setakat ini.

Malah penyanyi dangdut yang terkenal dengan lagu Angkat Kaki itu juga mengaku tidak terlintas di fikirannya untuk bersara dari dunia hiburan dalam waktu terdekat ini.

“Tidak pernah lagi orang meminta saya untuk bersara.

"Kalaupun ada, saya tak ambil peduli kerana tohmahan yang sebegini akan membuat seseorang anak seni semakin cekal dan sikap itu mampu menaikkan nama artis,” katanya.

Sheeda atau nama sebenarnya Sayyida Beevi M Shahul Hameed ditemui pada sidang media pengumuman Karnival Jelajah Mesra Medan Jodoh 2017 di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sheeda sendiri seorang daripada penghibur yang terbabit dalam karnival berkenaan pada 14 dan 15 Oktober ini di Padang Awam Batu Anam, Segamat, Johor.

Selama hampir 30 tahun memperjuangkan irama dangdut, kata Sheeda, sudah pelbagai pengalaman dilalui namun segalanya adalah asam garam seorang anak seni.

Antaranya, Sheeda berkata, dia menjadi mangsa sindiran dan kecaman masyarakat yang sering melabel muzik dangdut sebagai irama murahan.

“Pernah beberapa kali pengguna media sosial mengutuk saya menerusi akaun Instagram.

“Ini yang saya pelik, mereka tak suka tetapi mahu juga mengikuti perkembangan saya,” katanya.

Menjelaskan keazamannya bertahan dalam bidang yang selama ini menjadi punca pendapatannya, Sheeda berkata, dia tidak mampu membohongi hatinya untuk untuk beralih arah.

Katanya, dia juga sudah lama memasang hajat untuk mendendangkan lagu berunsur ketuhanan, selain mengubah penampilan diri serta memakai hijab.

“Sebenarnya kesedaran untuk berhijab sudah lama terbit dalam hati saya. Tambahan pula didikan dari ibu bapa yang mementingkan agama.

“Insya-Allah apabila sampai masanya saya tidak menolak untuk berhijab dan memilih lagu-lagu ketuhanan selepas ini,” katanya.

Menjelaskan perkembangan yang bakal berlaku Sheeda berkata ia perlu berlaku perlahan-lahan.

Satu daripada aspek yang diambil kira ketika ini ialah ikatan kontrak.

"Saya perlu habiskan kontrak. Lepas itu insya-Allah saya akan menuju ke arah itu.

“Apa saya buat sekarang hanyalah berlandaskan kehidupan yang tidak sesenang mana, cuma apabila sudah berjanji saya harus tunaikan.

“Kalau boleh kesemuanya ingin diselesaikan tahun ini,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS