Bermula tahun 1992, seni tarian tradisi Mak Yong yang sudah lama berakar dalam kehidupan masyarakat Kelantan tidak lagi boleh dipersembahkan secara terbuka.
PAS yang ketika itu baru dua tahun mengambilalih kerajaan negeri melarangnya atas sebab wujudnya unsur khurafat dan percampuran
antara lelaki dan perempuan.
Seni lain yang turut diharamkan adalah Menora dan Main Puteri, juga atas sebab yang sama.
Hari ini, kalaupun ada persembahan Mak Yong di sana, ia hanyalah terhad untuk acara rasmi dan tarian semata-mata tanpa sebarang ritual.
Seni tradisi itu diiktiraf sebagai warisan dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco) pada 2005 dan semalam, satu laporan badan itu menggesa kerajaan Kelantan menamatkan pengharaman itu.
"Tidak memadai untuk menjamin hak budaya ini jika hanya dengan memindahkan amalan dan persembahannya ke tempat lain, di luar
daripada tempat budaya ini muncul," kata pelapor khas PBB dalam bidang hak budaya, Karima Bennoune.
Namun menurut laporan Free Malaysia Today, Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata tiada sebab untuk kerajaan negeri menarik balik larangan tersebut.
Bagi Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad, pengharaman tersebut mungkin boleh ditamatkan dengan syarat segala unsur yang
bertentangan dengan Islam dibuang.
"Sejak 1990-an lagi, kerajaan sudah buat garis panduan agar unsur yang bercanggah dengan Islam itu diubahsuai. Bukan larangan secara mutlak," katanya kepada Malaysiakini.
Ketika ditanya sama ada ia akan melunturkan identiti seni itu, beliau menjawab;
"Apa seni sekalipun, ia kena ikut syariat Islam. Seni boleh diteruskan tetapi bersyarat," katanya lagi.
Beliau tidak melihat ada masalah untuk tarian Mak Yong dan seni tradisi lain kembali dipersembahkan secara terbuka, dengan syarat ia tidak lagi mengandungi unsur yang bertentangan dengan agama.
"Mak Yong dilarang apabila ada lelaki berpakaian seperti perempuan, kemudian berlakunya percampuran secara bebas. Kita juga dididik yang pemujaan dan jampi serapah adalah syirik," katanya.
Kini banyak alternatif
Mohamad Shukri memberikan contoh dikir barat yang dahulunya turut diharamkan tetapi kini kembali dipersembahkan di tempat awam.
Menurut laporan Utusan pada September 2010, Pengharaman itu ditamatkan selepas persembahan dikir barat tidak lagi menggunakan lirik lucah dan mencarut, serta tempat duduk penonton lelaki dan perempuan diasingkan.
"Kerajaan negeri ingin mendidik agar 'permainan' ini selaras dengan Islam," katanya.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan kebanyakan seni tradisi kini tidak lagi popular dan dekat dengan rakyat kerana faktor peredaran zaman, bukan kerana dilarang semata-mata.
"Sekarang alternatif terlalu banyak. Jika seni itu tidak hidup bukan kerana kita kita minta ada pengubahsuaian (sehingga hilang identiti).
"Jika unsurnya dikekalkan pun tetap diancam kepupusan. Zaman dulu hiburan tidak sebanyak sekarang," katanya lagi.