Kebakaran yang meragut 24 nyawa termasuk pelajar dan guru di Pusat Tahfiz Quran Ittifaqiyah di Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur awal pagi ini turut meruntun jiwa beberapa golongan selebriti tanah air tempatan.
Pengacara terkenal Datuk Aznil Nawawi misalnya menggesa orang ramai supaya menjaga sensitiviti keluarga mangsa dengan tidak terbabit menyebarkan sebarang klip video berhubung kejadian kebakaran.
Menerusi akaun Instagram miliknya, Aznil memuat naik sebuah petikan laporan berita mengenai insiden menyayat hati itu.
“Pihak Psych HKL sedang menjalankan Psycological First Aid (PFA) untuk mangsa terselamat dan keluarga terdekat.
“Video berkenaan boleh mengakibatkan kesan buruk trauma selain mengganggu mangsa yang cuba berdepan situasi mencabar dan saat sukar seperti ini. Terima kasih,” menurut kenyataan berkenaan.
Selain Aznil, pelakon Fattah Amin turut merakam takziah dengan memanjatkan doa agar roh mangsa dicucuri rahmat.
“Ya Allah, kau tempatkanlah anak-anak syurga ini di kalangan orang yang beriman. Damaikanlah mereka di sana Ya Allah amin..,” tulisnya.
Manakala tukang masak terkenal Datuk Chef Wan pula tertanya-tanya mengapa kejadian buruk seperti ini sering datang menduga.
"Ya Allah, sedih yang amat mendengar berita serta melihat gambar-gambar kanak-kanak yang meninggal akibat kebakaran.
"Saya tumpang sedih atas kejadian menimpa kanak-kanak tidak berdosa dan keluarga mereka.
"Saya pasti kita semua turut berdukacita atas kejadian yang berlaku. Al-Fatihah," katanya yang turut mempersoal kekerapan tragedi kebakaran seumpamanya yang menyebabkan mangsa terperangkap.
Sementara itu, beberapa artis lain turut berkongsi simpati menerusi akaun Instagram mereka adalah pelakon Fasha Sandha, Nora Danish, penyanyi Datuk Siti Nurhaliza Tarudin dan Faizal Tahir.