Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Mereka tak tahu apa terjadi, kata Hafiz Hamidun

Baru tiga bulan melayari bahtera rumah tangga, penyanyi nasyid Hafiz Hamidun dan isterinya dilaporkan media sudah tidak lagi tinggal sebumbung.

Spekulasi itu bertambah kencang apabila Hafiz dan isterinya, Siti Arifah Mohd Amin dilihat tidak lagi memuat naik gambar bersama di akaun Instagram masing-masing.

Bukan itu saja, Hafiz dan pengasas produk kosmetik berkenaan juga dikatakan tidak hadir ke mana-mana majlis berdua.

Biarpun pelbagai andaian dibuat, Hafiz masih tenang dan bersikap positif terhadap respons peminat.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, dia mengakui tidak boleh lari daripada menjadi perhatian umum dalam hampir setiap apa yang dilakukannya.

“Saya tidak rasa terkilan sekiranya ramai yang sudah membuat pelbagai telahan mengenai perkahwinan ini. Saya terima apa yang diperkatakan kerana anggap mereka yang di luar sana tidak tahu apa sedang terjadi antara kami berdua,” katanya.

Hafiz atau nama penuhnya Mohammad Hafiz Hamidun, 33 diijabkabulkan dengan Siti Arifah atau lebih dikenali sebagai Joy Revfa di Shah Alam pada 1 Mei lalu.

Hafiz bagaimanapun enggan mengulas lanjut ketika diminta menjelaskan isu rumah tangganya dengan lebih terpeinci.

Katanya, buat masa ini masih banyak perkara perlu diambil kira sebelum sesuatu kenyataan dikeluarkan kerana ia bakal melibatkan banyak pihak.

“Insha Allah, sama ada mingu ini atau minggu depan saya akan tampil dan memberi penjelasan terhadap situasi yang berlaku. Saya berharap orang ramai dan media bersabar dan tunggu kenyataan dari saya,” katanya.

Sementara itu, memetik laporan Harian Metro, isteri Hafiz pernah memberi bayangan bahawa rumah tangga mereka sedang dilanda badai.

Namun, Joy juga enggan mendedahkan perkara berkenaan secara terpeinci.

"Kalau nak nak cakap mengenai bahagia, semua orang inginkan kebahagiaan.

"Cuma kerjaya masing-masing membuatkan kami terlalu sibuk. Saya mahukan keluarga bahagia, tetapi apakan daya," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS