Wanita Parti Amanah Negara (AMANAH) menuntut sebuah lagu nyanyian bersama artis antarabangsa terkenal Justin Bieber bertajuk “Despacito” diharamkan.
Pengerusi biro kesenian dan kebudayaannya Atriza Umar berkata lirik lagu dalam bahasa Sepanyol dan Inggeris itu berunsur lucah.
“Saya memandang serius perkara ini kerana lagu tersebut terus menjadi siulan anak-anak muda tanpa mereka memahami maksud sebenar lagu tersebut.
“Radio-radio tempatan termasuk berbahasa Melayu yang turut sama memutarkan lagu tersebut menyebabkan fenomena lagu tersebut seperti sukar dikawal lagi,” katanya.
Lagu itu dikatakan memuatkan tema hubungan seksual dan romantik, yang antaranya menyebut aksi menggigit telinga dan bait-bait yang meminta kekasihnya “perlahan-lahan supaya tahan lama”.
Single gubahan penyanyi Puerto Rica itu pada mulanya dinyanyikan oleh Luis Fonsi dan penyanyi rap Daddy Yankee pada 2016 sebelum Bieber terlibat menyumbang suara selepas itu.
Bahagian kontroversi lagu bergenre Reggaeton-pop itu mungkin merujuk kepada:
Make me wanna savor every moment slowly, slowly
You fit me tailor-made, love how you put it on
Got the only key, know how to turn it on
The way you nibble on my ear, the only words I wanna hear
Baby, take it slow so we can last long
Dalam kenyataan hari ini, Wanita AMANAH menegaskan bahawa lirik berunsur lucah, seperti juga ganas, tidak sesuai dengan budaya timur dan agama Islam.
“Saya juga kesal kerana lagu-lagu yang bermasalah seperti ini yang tidak ditapis penyiarannya oleh kementerian yang bertanggungjawab,” kata Atriza.
Beliau menuntut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia bertegas dalam isu itu yang menurutnya boleh merosakkan moral masyarakat.
Atriza juga memuji langkah beberapa artis dan individu yang mengubah lirik berkenaan ketika mempersembahkan lagu itu.