Paling Popular
Terkini

ULASAN | Percaya cakap saya, tidak lama lagi judul drama Melayu di televisyen akan mengunakan judul sebegini: K*** Laki Aku Tak Cukup Panjang.

Kerana apa? Kerana apa yang penting kepada pihak yang terlibat dalam pembikinan semua drama Melayu untuk tayangan kepada umum adalah bagaimana sesebuah drama itu boleh menarik penonton.

Dan bagi pihak stesyen televisyen pula ialah, bagaimana untuk menarik pengiklan bagi mendapatkan keuntungan yang maksimum.

Berikan mereka masa dua setengah tahun - dan jika momentum drama yang dihasilkan adalah seperti sekarang - mereka pasti tanpa ada malu akan menghasilkan drama perihal panjang pendek atau besar kecil alat kelamin watak utama mereka.

Tidak ada lagi tanggungjawab moral. Dilupakan juga bahawa walau sedikit, apa yang ditayangkan itu akan memberi kesan kepada penontonnya.

Telah beralih arah

Sekarang ini tidak ada bezanya drama yang ditayangkan waktu pagi, tengah hari, Maghrib hari dan juga waktu puncak.

Semuanya berkisar tentang lubang kencing.

Suri rumah yang sibuk di dapur dan anak-anak yang belum faham dipersembahkan dengan masalah, diajar bagaimana untuk kurang ajar.

Juga terlebih malang ialah penonton sering diajar untuk putus asa.

Apabila gagal dalam cinta, maka pertamanya mereka wajib merana kerana lubang kencing idaman mereka telah beralih arah.

Lalu sang merana pun berkeluh-kesah meratapi nasib dan jika diizinkan oleh agama, mereka akan sewenang-wenangnya membunuh diri jika pun tidak membunuh kekasih pautan hati mereka itu.

Percayalah apabila saya katakan bahawa ada anak baru berusia sembilan tahun - setelah dimarahi ibunya - menulis sepucuk surat kepada wanita itu dengan sebaris ayat begini:

"Siti tahu Siti bersalah. Maafkan Siti. Siti sebenarnya tak layak untuk wujud di dunia ini…"

Di mana anak ini belajar bahasa sastera drama ini jika bukan dari persekitaran yang saban hari giat mempromosi gundah gulana dan merana?

Bukan tidak ada drama yang baik dihasilkan, namun majoritinya adalah tentang perempuan cantik yang teringinkan lelaki tegap.

Yang itulah juga diulang-ulang dalam semua penghasilan dengan judul yang berbeza.

Kegilaan drama televisyen

Semasa kamu mengejar populariti, kamu membunuh banyak jiwa. Dan kamu pun bangga menjadi idola masyarakat yang punah.

Kita semua bertanggungjawab untuk membentuk manusia, terutamanya keluarga sendiri sebagai manusia yang sejahtera pemikirannya.

Kita mendambakan persekitaran yang membentuk otak sihat namun drama televisyen hari ini langsung tidak membina.

Membicarakan soal cinta yang penuh rintangan, dengan jerit dan tangis, bukan usaha yang mengarah kepada kebaikan.

Dan mengapa hanya tema cinta yang menjadi kegilaan dalam menghasilkan drama televisyen?

Kita mengajar masyarakat supaya apabila marah, wajib menjerit-jerit tanpa peduli aib.

Kita tusuk otak masyarakat bahawa wang adalah segalanya.

Kita desak masyarakat bahawa kelihatan cantik setiap masa adalah matlamat dalam hidup, dan kita hanya paparkan adegan berdoa kepada tuhan, berdoa dan menangis hanya kerana gagal dalam cinta.

Realiti kehidupan siapakah yang kita tonjolkan? Apakah semua penulis skrip drama Melayu ini hidupnya terlalu malang lalu berkongsilah gelap kehidupan mereka dengan masyarakat umum sebagai suri teladan?

Kalaulah mereka yang terlibat ini dulunya mati muda, tentu ini telah menyelamatkan kita daripada bebanan hidup yang mereka fiksyenkan.

Sekurang-kurangnya nanti boleh diperbahaskan akan kematian mereka bahawa mereka telah berkorban jiwa untuk pembentukan masyarakat yang lebih aman.

Saya harap ada neraka khas buat mereka yang terlibat dalam penghasilan yang sia-sia ini.


ABDULLAHJONES pelukis dan penulis di Kuantan, Pahang, yang masih marah kerana sebahagian daripada bandar itu pernah bertukar warna menjadi merah suatu masa dulu.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS