Jenazah pelakon veteran Osman Zailani selamat dikebumikan di Tanah perkuburan Islam Choa Chu Kang, Singapura selepas solat Zuhur hari ini.
Pelakon berkenaan dilapor meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru dan sakit tua di Hospital Khoo Teck Puat, Singapura jam 9.30 malam semalam.
Osman atau nama sebenarnya Mohammad Kechut menghembuskan nafas terakhir ketika berusia 85 tahun.
Memetik laporan Berita Harian SG, allahyarham meninggalkan tujuh anak dan sudah lama hidup bersendirian selepas isteri keduanya meninggal dunia 15 tahun lalu. Salah seorang cucu allahyarham merupakan peserta Singapore Idol, Hady Mirza.
Manakala isteri pertama Osman meninggal dunia kira-kira 30 tahun lalu.
Ketika hayatnya, Osman, yang mesra dipanggil Tok Ayah sering membawa watak orang kaya dan antagonis.
Di Malaysia, nama Osman popular menerusi drama PJ Holdings sekitar tahun 1980-an.
Manakala di Singapura antara naskhah lakonan allahyarham yang sering diingati adalah drama Bubur Masjid Air Katirah selama tiga musim. Osman juga ditampilkan dalam filem arahan M. Raihan, Banting.
Istimewanya Osman, bakat pelakon itu pernah meraih perhatian penerbit dan pengarah filem antarabangsa seperti di Hollywood.
Pada 1979, Osman diberi kepercayaan untuk membawakan watak sebagai Ong Lee dalam drama siri televisyen popular Hawaii Five- O dan juga watak Bob dalam filem Saint Jack diterbitkan Hugh M Hefner.