Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan
Watak di sebalik komik Aku Hidup Dalam Blues meninggal dunia

Penulis komik Aku Hidup Dalam Blues, Azzam Supardi meninggal dunia di Hospital UiTM Sg Buluh pagi tadi akibat serangan jantung.

Jenazah penulis itu dikebumikan di Paya Jaras, Sungai Buloh, Selangor kira-kira jam 12 tengah hari tadi.

Allahyarham seakan-akan dapat merasakan akan pergi buat selama-lamanya apabila memuatkan catatan terakhir di akaun Facebook miliknya pada pada awal pagi 30 Jun lalu:
“Aku penat...
aku letih...
bantu aku...
tolong aku
dapatkan kembali tidurku yang hilang.

Berdasarkan status bertarikh 24 Jun, Azzam memberitahu dia telah dimasukkan ke hospital dan terpaksa menyambut perayaan Aidilfitri kali ini di situ.

Aku Hidup dalam Blues - sebuah novel ilustrasi bersiri diusahakan Azzam - mula disiarkan pada 1991.

Selain Azzam yang dikenali dengan nama pena Toyon, Aku Hidup Dalam Blues turut mendapat sentuhan pelukis Shaari atau nama penanya Aie.

Senang ajak berbincang

Sementara itu kartunis Ujang berkata Azzam adalah seorang kawan yang baik dan mudah mendengar kata sepanjang menerbitkan majalah Ujang.

"Beliau antara kakitangan saya yang terawal. Arwah mudah dibawa berbincang dan sentiasa positif dalam apa juga perancangan kami semasa mengendalikan majalah," katanya kepada Malaysiakini.

Persahabatan antara Ujang dan Azzam juga melalui tempoh yang lama.

Dan persahabatan antara kedua-dua mereka bukan terbatas di pejabat saja, malah melangkaui ruang berkenaan.

"Saya ada banyak pengalaman dengan arwah sebab arwah bekerja dengan saya sejak zaman mudanya dan kami terus berkawan baik sehinggalah kami tua.

"Ada banyak sangat pengalaman. Dulu arwah juga selalu mengikut saya masuk hutan, berkhemah dan memancing," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS