Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Percaya pada rezeki tetap ada di tangan Allah, cucu kepada Allahyarham Tan Sri P Ramlee bertekad mengekalkan dirinya seperti yang ada sekarang.

Biarpun ada pihak mencadangkan agar dia mengubah bentuk badan sedia ada untuk membolehkannya diterima lebih ramai sebagai penyanyi, Najua P Ramlee berpendapat sebaliknya.

Bagi Najua memang tidak berbaloi untuk tampil dengan personaliti berbeza, selain membiarkan dirinya dibelenggu tekanan orang lain untuk mengecilkan saiz badan.

Ketika ini nama Najua memang lebih menyerlah di pentas teater dan drama tempatan, namun dia tidak sedikit pun rela membiarkan impiannya bergelar seorang penyanyi disegani lenyap begitu saja.

“Berbanding lakonan, saya lebih suka menyanyi. Tetapi saya dapat terlalu banyak tawaran yang meletakkan syarat iaitu perlu menguruskan badan, misalnya dalam tempoh tiga bulan.

“Bagaimana saya nak turutkan kehendak mereka sedangkan selama ini tawaran sebagai pelakon saya terima dengan keadaan sedia ada," katanya kepada Malaysiakini.

Najua atau nama sebenarnya Najua Mohd Nasir, 30, ditemui ketika pelancaran kempen Legenda Cun Watsons di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pada majlis berkenaan, Najua turut diundang menyanyikan sebuah lagu.

Mengajar lakonan, vokal

Najua menjadi anak kepada satu-satunya zuriat kandung P Ramlee. Dia lahir hasil perkahwinan Mohd Nasir dengan pelakon Rashidah Jaafar.

Mohd Nasir meninggal dunia pada 17 Disember 2008 ketika berusia 55 tahun.

Kata Najua, memang sejak kecil saiz badannya menjadi isu apabila ditawarkan menyanyi.

Sebagai anak seni, biarpun rezeki untuk bergelar penyanyi terkenal masih belum berpihak padanya, Najua tetap mampu memperlihatkan sisi positif.

Katanya, sudah lama dia membuang jauh-jauh perasaan tersinggung apabila keadaan fizikalnya dibangkitkan apabila peluang datang.

Pada masa sama, dia tetap menyambut baik peluang lain supaya namanya tidak lenyap atau dilupakan.

“Pada awal dulu memang saya berkecil hati tetapi ramai rakan menasihati saya supaya bertabah dan tidak perlu melakukan perubahan semata-mata memenuhi kehendak orang lain.

“Alhamdulillah, disebabkan saya percaya pada rezekilah hingga kini saya aktif dalam bidang lakonan dan teruskan mana-mana tawaran yang diterima,” katanya.

Selain berlakon, Najua turut aktif membabitkan diri dengan program anjuran pertubuhan bukan kerajaan selain mengajar kelas lakonan dan vokal.

Dalam pada itu, apabila ditanya mengenai keinginannya untuk dikenang sebagai seseorang berpengaruh seperti datuknya, Najua menjawab, hasrat sedemikian adalah satu tanggungjawab yang amat besar untuk digalas.

“Besar benar tanggungjawab memakai nama Najua P Ramlee ini kerana orang akan mengharapkan saya mampu memberikan yang lebih berbanding arwah.

“Saya tidak mahu menjadi seperti dia, kerana dia hebat dan siapalah saya. Tetapi periuk nasi juga harus dijaga.

“Selain itu, saya perlu meneruskan legasi datuk, namun apa yang boleh saya tegaskan ialah, semua ini bukan dilakukan semata-mata untuk mengejar populariti,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS