Tidak dijemput menghadiri majlis anugerah artis popular walaupun pernah mengunggulinya selama 10 tahun berturut-turut, tidak mengapa kerana kumpulan nasyid Rabbani tidak berkecil hati.
Namun kumpulan nasyid itu menggesa penggiat seni berfikir lebih jauh daripada sekadar kilauan lampu limpah dan gilang-gemilang sesuatu majlis anugerah.
Menurut ketua kumpulan Rabbani, Azadan Abdul Aziz (gambar), penggiat industri seni perlu memikirkan untuk mewujudkan semula anugerah nasyid popular pada masa akan datang.
“Apabila buat sesuatu majlis anugerah, tidak panggil Rabbani pun tidak apa, tetapi adakan semula anugerah nasyid popular seperti pernah dilakukan sebelum ini,” katanya.
Kumpulan nasyid itu ditemui pada majlis perasmian restoran berkonsep makanan Arab, Rabbani Lamb House, di bangunan My Food Loft, Kuala Lumpur semalam.
Turut hadir pada majlis itu adalah anggota-anggota lain kumpulan Rabbani yang tampil dengan pakaian baju Melayu berwarna warni.
Media boleh berperanan
Kata Azadan, lagu-lagu nasyid juga menjadi penyumbang besar dan penting dalam perkembangan baik industri hiburan negara ini.
"Kami pecaya penganjuran ABPBH (Anugerah Bintang Popular BH) bukan sekadar untuk glamor dan mencari populariti sebaliknya tapak untuk pengiat seni bersilaturahim serta berkongsi rasa dengan peminat.
"Pasti ada ruang dan peluang terbaik untuk penyanyi nasyid serta berkongsi rasa dengan peminat mereka," katanya.
Azadan mengulas perkembangan lagu-lagu nasyid atau berunsur dakwah ketika ini yang dilihat semakin terpinggir daripada hiburan arus perdana.
Katanya, selain itu, wujud golongan situasi sesetengah artis yang seolah-olah sengaja diletakkan dalam kelompok tertentu sehingga pengiat nasyid seakan wujud dalam sektor terasing.
“Sebenarnya, di Malaysia kita lihat banyak artis berkelompok. Walaupun dah lama bergiat sebagai artis, kami berasa terasing sedikit sebab jarang dapat bersama dalam sesuatu majlis anugerah.
“Sebagai contoh, majlis ABPBH, kami tidak dijemput kali ini tetapi itu bukanlah masalah besar," jelasnya.
Menurut Azadan, kumpulan nasyid sama ada baru dan lama sentiasa cuba berada dalam arus perdana supaya hiburan berunsurkan dakwah dapat diterima umum.
“Justeru, andai stesen televisyen dapat mainkan peranan penting seperti menganjurkan perkahwinkan artis, saya rasa media juga boleh satukan hubungan sesama artis,” katanya.