Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Kumpulan sastera umum pemenang sajak bertema Hindu
Diterbitkan:  May 12, 2017 12:30 PM
Dikemaskini: 4:48 AM

Kumpulan Sasterawan Kavyan hari ini mengumumkan tiga pemenang utama bagi pertandingan menulis puisi bertemakan Hinduisme yang dianjurkan mereka bulan lalu.

Hasil penilaian yang dijalankan, panel juri yang diketuai Dr Mohd Faizal Musa atau lebih dikenali sebagai Faisal Tehrani, memilih tiga puisi terbaik untuk memenangi hadiah utama.

Puisi berkenaan berjudul "Tiga" hasil nukilan Mohd Faiz Nazim Baidilleh, "Maka Kau Ku bentuk" yang ditulis T. Viveganandan dan "Cerita Muruga" hasil karya Lee Chen Kang.

Masing-masing memenangi hadiah berupa wang tunai berjumlah RM800 yang ditaja oleh penulis dan pemilik syarikat penerbitan buku Matahari Books, Amir Muhammad.

Manakala tiga pemenang lagi memenangi wang sagu hati dengan sajak berjudul "Sirna Dalam Samsara", "Karma Bima Sakti" dan "Kami Yang Bergelar Penganut Hindu".

Mereka memenangi hadiah wang tunai RM160 setiap seorang.

Menurut Kavyan, sebanyak 26 puisi telah diterima sehingga tarikh tutup penyertaan pada 30 April lalu.

Daripada jumlah itu, 15 buah puisi berjaya melepasi peringkat saringan awal.

"Panel juri menolak puisi-puisi yang terlalu banyak memuatkan elemen Hinduisme, atau hanya menabur terma Hinduisme sehingga melimpah dan menenggelamkan mesej.

"Sesebuah puisi yang ingin menyampaikan mesej agama tidak seharusnya terlalu bersifat mengajar, dan mengasak propaganda," jelas kumpulan itu di laman web mereka.

Katanya, terdapat juga puisi yang elemen Hinduismenya sama sekali tidak jelas atau kurang diketahui objektif atau mesej yang ingin disampaikan.

Selain itu, panel juri memutuskan bahawa puisi-puisi yang terlalu langsung dan mengandungi retorik juga mengurang atau mencairkan nilai puitisnya.

Idea untuk mengadakan pertandingan puisi itu tercetus susulan puisi kontroversi Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang disiarkan di laman Facebooknya.

Susulan itu, Amir Muhammad yang pernah menerbitkan buku Mohd Asri mengumumkan beliau akan menaja pertandingan menulis puisi bertema Hindu yang dianjurkan Kavyan.

Keputusan itu diambil selepas beliau tidak bersetuju dengan puisi Mohd Asri yang dikatakan mengguriskan perasaan penganut agama Hindu di negara ini.

Bagaimanapun, Mohd Asri menafikan beliau berniat menghina penganut agama Hindu, sebaliknya puisi itu ditujukan kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri India, Narendra Modi. 

Berikut pemenang bagi keputusan berkenaan:

Hadiah Utama:

“Tiga” – Mohd Faiz Nazim bin Baidilleh (Iz Baidilleh)
“Maka Kau Kubentuk” – T. Viveganandan
“Cerita Muruga” – Lee Chen Kang

Hadiah Saguhati:

“Sirna Dalam Samsara” – Muhammad Fareed bin Isa
“Karma Bima Sakti” – Muhammad Ruzaiman bin Ahmad
“Kami Yang Bergelar Penganut Hindu” – Renganathan a/l Palanisamy

Setiap sajak di atas menerima hadiah RM160 (tunai)


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS