Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan

'Penat' melayan karenah orang kaya-kaya, kartunis Ujang kini seakan nekad untuk kembali berkawan dengan alam semula jadi.

Mendakwa diberhentikan kerja serta-merta, Ujang berkata, apa yang baru berlaku ke atasnya adalah kali ketiga dia berdepan dengan masalah melibatkan "orang kaya".

Ditanya mengenai perancangannya selepas diberhentikan, Ujang menjawab: "Balik hutan la. Apa nak buat lain, layan memerang," katanya kepada Malaysiakini malam tadi.

Kartunis terkenal itu pada 5 Mei lalu mendedahkan dia diberi notis tamat kerja 24 jam oleh sebuah syarikat yang menerbitkan majalah komik Upin & Ipin, Nyla Sdn Bhd.

Kata Ujang makluman pemberhentian itu disampaikan kepadanya melalui pesanan ringkas telefon ketika dia dalam perjalanan ke Tasik Kenyir.

Sejak tidak terlibat sepenuh masa dalam dunia komik, Ujang mencari pendapatan dengan menawarkan pakej memancing atau ekspedisi di Taman Negara.

Katanya, dia berkhidmat dengan syarikat penerbitan majalah komik Upin & Ipin itu sejak enam tahun lalu sebagai perunding memandangkan mereka kurang berpengalaman dalam bidang berkenaan.

Mendedahkan dia sebenarnya sudah bosan dengan dunia penerbitan yang penuh dengan "pengelepetan" (eksploitasi) terhadap golongan artis, Ujang akhirnya bersetuju menerima tawaran berkenaan.

Itu pun, katanya, selepas wakil syarikat Nyla sering datang memujuknya di rumah.

"Saya minta bayaran RM15,000 sebulan untuk melakukan kerja penyediaan konsep, susunan halaman, mengajar cara memohon permit penerbitan daripada Kementerian Dalam Negeri, mencadangkan ejen pengedaran, kawalan percetakan, menyusun sidang pengarag serta memantau perjalanan majalah," katanya.

Tapi disebabkan syarikat itu baru bermula Ujang ditawarkan bayaran RM2,000 sebulan dan dia dilantik sebagai penasihat komik.

"Selopeh onam tahun berjalan dongan baik dan mereka dah pandai.... minggu lopeh den pun dibeghontikan 24 jam melalui talipun maso den on the way ke Tasik Kenyir," katanya yang memang terkenal dengan loghat Negeri Sembilan.

Kata Ujang, dia merayu kepada penerbit terbabit tetapi tidak dilayan.

Melalui imej yang dihantarnya ke Malaysiakini, seorang pegawai Nyla menulis kepada Ujang: "Salam Ujang. Saya memang sedih dengan kerenah LCP (Les' Copaque). Mereka control segala-galanya. Saya terpaksa ikut sebab lesen kita dia pegang. Habis tahun ni Allah sahaja yang tahu apa akan jadi. Saya dah siap cek Ujang dengan ikhlas. Tak payah hutang. Mohon maaf banyak-banyak terpaksa buat ikut perintah."

Menceritakan kisah itu kepada Malaysiakini, Ujang berkata ada syarikat Les' Copaque bercadang mahu mengambil alih operasi syarikat penerbit majalah komik itu, meletakkan orang mereka sendiri dan memberi tekanan kepada penerbitnya.

Katanya, bukan mudah untuk memulakan proses penerbitan majalah dan ia tidak terhad kepada sekadar menyediakan bahan atau kandungan dan ia terus disiapkan begitu saja.

"Kalau macam tu, semua orang boleh buat komik dan majalah," katanya.

Ujang yang sedang membesarkan empat anak yang masih belajar dan seorang isteri uzur berkata, insiden malang ketiga dialaminya dengan "orang kaya".

Pertama kali, katanya, melibatkan majalah yang menggunakan namanya sebagai jenama - berakhir dengan penutupan majalah berkenaan - dan kali kedua membabitkan satu projek siri animasi di televisyen.

Kata Ujang, walaupun projek itu membabitkan kontrak bernilai jutaan ringgit dia tidak merasa bayaran royalti daripadanya.

"Teruk, nak bayar sewa rumah pun saya tak lepas ni," katanya.

Pengasas Upin & Ipin nafi arahkan Ujang dipecat


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS