Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan

Tragis.

Luka lama yang sukar dilupakan, kasih ibu dan ayah tetap tersemat di hati.

Air mata berderai apabila filem ini berakhir dengan adegan Sunny mendakap ibunya yang melihat anaknya dengan penuh kasih dan sayang.

"Dia anak aku, kalau bukan saya yang menyayanginya, siapa lagi?" ungkapan dialog dalam dialek Hokkien Pulau Pinang.

Inilah dialog terakhir Cheng, watak ibu yang dimainkan oleh Neo Swee Lin, seorang pelakon popular dari Singapura yang juga merupakan kawan baik Saw.

Neo, pernah melakonkan watak 'Ah Ma' dalam drama komedi Singapura, Phua Chu Kang.

Bukanlah mudah buat pengarah filem ini membuka kembali luka yang lama terpendam dalam hatinya. Dalam setiap syot dalam penggambaran filem ini dijalankan, air mata Saw tidak pernah kering mengenang kembali peristiwa tragis dan juga kasih ibunya.

Semasa menonton filem ini ketika malam tayangan pertama, ada segelintir anak-anak muda turut membawa ibu bapa mereka bersama menonton filem ini.

Pada akhir tayangan malam itu, tiada seorang yang pulang dengan mata yang kering.

Turut dilihat seorang anak muda memegang tangan ibu tuanya berjalan ke arah tempat letak kereta.

Filem 'You Mean The World To Me', antara filem tempatan pertama yang memaparkan dialog asli dalam bahasa Hokkien Pulau Pinang, salah satu dialek bahasa Cina yang unik di utara Semenanjung Malaysia.

Kata salah seorang pelakon kepada Malaysiakini, sesi penggambaran amat sukar dan hampir setiap krew turut mengalirkan air mata melihat pengarah menangis teresak-esak di belakang kamera.

Setiap syot dalam filem ini diolah dengan cukup teliti, termasuklah pakaian 70-an dan juga hiasan dalaman rumah peranakan di Pulau Pinang.

Filem tempatan terbaru, 'You Mean The World To Me' yang diarahkan oleh Saw Teong Hin merungkai pengalaman beliau bersama ibu dan keluarganya.

Saw, anak bongsu dalam tiga orang adik beradik, menceritakan kisahnya dalam filem semi autobiografi ini yang cukup tragis.

Hubungan beliau dengan keluarganya agak terasing, dan juga arwah abangnya (Ah Boy) yang mempunyai masalah mental kurang upaya.

Filem ini yang pada asalnya diadakan sebagai persembahan teater di Pulau Pinang sebelum dijadikan filem.

Watak 'Ah Boy' dilakonkan oleh John Tan manakala 'Ah Hoon', watak kakak kepada Sunny dilakonkan oleh Yeo Yann Yann.

Watak Sunny ketika dewasa dilakonkan pula oleh Frederick Lee manakala Greg Koay melakonkan watak Sunny semasa zaman kanak-kanak.

Yeo, pelakon tempatan yang telah lama berkecimpung dalam arena ini di Malaysia dan Singapura, pernah merangkul pelakon pembantu wanita terbaik dalam filem 'Ilo Ilo' di anugerah Golden Horses pada tahun 2013.

Penggambaran filem itu diadakan di Pulau Pinang yang bermula sejak 2015 dan pada mulanya agak sukar untuk Saw mencari pelakon-pelakon yang sesuai untuk melakonkan watak dalam filem itu yang memerlukan kefasihan dalam loghat Hokkien Pulau Pinang.

Saw juga turut berganding bersama sinematografer terkemuka, Christopher Doyle yang pernah bekerjasama dengan pengarah terkenal di China dan Hong Kong, khususnya dalam filem aksi seperti Zhang Yimou dan Wong Kar Wai.

Filem ini mula ditayangkan pada 4 Mei di pawagam seluruh negara sempena sambutan Hari Ibu, jangan lupa membawa ibu bapa bersama menonton filem ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS