Pelakon veteran Vinod Khanna yang popular sekitar tahun 1970-an meninggal dunia kira-kira pukul 2 petang tadi akibat kanser pundi kencing.
Menurut laporan, Vinod menghembuskan nafas terakhir ketika berusia 70 tahun selepas berperang dengan penyakit dialami sebaik dimasukkan ke sebuah hospital di Mumbai pada Mac lalu.
Pada ketika itu, menurut anak sulung Vinod, Rahul, bapanya menjalani rawatan kerana mengalami dehidrasi teruk.
Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, kesihatan Vinod yang juga bekas ahli parlimen India itu semakin membimbangkan apabila sekeping imejnya yang kelihatan lemah tidak bermaya menjadi tular di media sosial.
Sebilangan besar bintang Bollywood mula mengirimkan doa supaya Vinod cepat sembuh.
Vinod memulakan kerjayanya sebagai aktor pada 1968 dan sering diberi kepecrayaan untuk memegang watak sebagai penjahat.
Filem seperti Amar Akbar, Anthony, Qurbani dan Achanak menaikkan nama beliau.
Vinod meninggalkan isteri Kavita Khanna dan empat anak. Tiga daripada mereka adalah lelaki Rahul, Akshaye dan Sakshi. Manakala seorang lagi anak perempuan iaitu Shraddha.