Penyanyi Hafiz Hamidun tetap menganggap dirinya hanyalah insan kerdil walaupun namanya termasuk dalam senarai 500 Muslim Paling Berpengaruh di Dunia.
Menurutnya, setiap usaha yang dicurahkan sepanjang tempoh bergelar anak seni bukan bertujuan meraih sebarang pengiktirafan atau menyertai mana-mana senarai selebriti popular.
Malah katanya, dia langsung tidak terlintas akan diiktiraf sekali lagi bagi kategori kesenian dan kebudayaan pada edisi 2017 majalah diterbitkan oleh Pusat Kajian Strategik Royal Islam di Amman, Jordan itu.
“Semasa pertama kali diberi penghormatan iaitu pada tahun lepas saya berasa amat terkejut, tetapi apabila disenaraikan buat kali kedua, saya benar-benar bersyukur.
“Senarai itu bukan saja menempatkan ikon politik, tetapi usahawan berjaya, justeru saya menggap penghormatan ini sebagai pembakar semangat.
“Namun, bagi saya, apa yang dibuat ini adalah masih kecil berbanding dengan ikon yang tersenarai dalam 500 Muslim Berpengaruh di Dunia itu,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Berdasarkan maklumat tertera pada majalah berkenaan, Hafiz atau nama sebenarnya Mohammad Hafiz Hamidun, 32, layak diberi penghormatan itu kerana kini menjadi penyanyi nasyid paling berpengaruh di rantau Timur.
Dia juga pemenang beberapa anugerah dalam industri muzik.
“Mereka menghubungi saya dan memaklumkan album Zikir Terapi yang diterbitkan memberi impak besar selain mencatatkan jualan paling laris di atas talian dan secara fizikal.
“Artis nasyid antarabangsa biasa didengari seperti Maher Zain atau Sami Yusuf, namun mereka berada pada cabang muzik pop tetapi lagu dari saya berbentuk lebih spiritual dan rileks,” katanya.
Sebaris Maher Zain, Yusuf Islam
Penyanyi dari Sweden Maher Zain, United Kingdom, Yusuf Islam dan Sami Yusuf adalah antara artis yang mengetengahkan lagu bercorak ketuhanan yang turut tersenarai.
Selain Hafiz, artis dari Malaysia yang turut disenaraikan dalam 500 Muslim Berpengaruh di Dunia adalah Raihan. Kumpulan nasyid itu mencatatkan rekod buat kali kesembilan berturut-turut.
Seorang lagi selebriti yang turut mengisi tempat dalam majalah berkenaan adalah penyanyi nombor satu negara Datuk Siti Nurhaliza. Manakala dari India, Aamir Khan.
Mengulas lanjut mengenai corak dan hala tuju selepas ini, Hafiz Hamidun berkata dia ingin mencuba sesuatu yang berlainan.
Katanya, dia ingin merakam album yang menempatkan 12 lagu selawat ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW di dalam bahasa Inggeris.
“Sebenarnya rakaman itu sudah pun bermula dan siap sebanyak 80 peratus. Sebanyak lapan buah lagu itu dihasilkan di Turki, Mesir, dan Indonesia.
“Album yang mengandungi selawat seperti Marhabban, Tola Al Badru Alaina dan Ahmad Ya Habibi itu bakal disiarkan pada hujung tahun ini,” katanya.