Selepas sekeping gambarnya tidak berhijab menjadi tular, pelakon Sara Ali akhirnya tampil membuat pengakuan sudah tidak lagi bertudung.
Meskipun mengakui ia keputusan yang sukar, Sara menyedari kesilapan sendiri kerana tidak berfikir panjang ketika mula mengenakan hijab.
"Salah sendiri sebab patut gunakan akal sendiri tapi tidak berfikir. Apa saya buat ini kerana sesuatu dan baru tersedar inilah (perkara) yang nak kena fikir dengan akal kita," katanya.
Sara atau nama penuhnya Siti Sarah Hairi Ali, 26, berkata demikian menerusi rakaman secara langsung di akaun Facebook milikinya.
Pelakon Wanita Terbaik Drama Anugerah Skrin 2015 itu tampil berhijab sejak awal Januari tahun lalu, namun mencetuskan kontroversi baru-baru ini apabila gambarnya tidak bertudung ketika bercuti di Shanghai, China tersebar di media sosial.
Sara berkata dia mengambil keputusan itu kerana mahu menjadi diri sendiri dan enggan mencemarkan imej wanita bertudung.
"Tidak elok berbuat sesuatu bukan kerana diri sendiri, tetapi saya buat atas sesuatu sebab dan ia tidak dapat dinyatakan di sini.
“Ini bukan perkara boleh dibanggakan pun dan dah fikir lama untuk ambil keputusan ini. Selama ini apabila saya keluar pun, saya rasa bersalah kerana kotorkan imej tersebut (wanita muslimah).
"Tapi saya rasa tak betul apabila lakukan sesuatu bukan untuk diri sendiri tapi kerana perkara lain. Saya tidak mahu menipu peminat dan orang di luar," katanya.
Katanya, sebelum membuka tudung dan tampil memberi penjelasan kepada umum, perkara itu terlebih dahulu sudah dibincangkan bersama individu yang rapat dengannya.
"Tiada ibu bapa suka keputusan ini terutama kerana beragama Islam tetapi mereka sokong dan akur dengan keputusan ni walau tidak bersetuju," katanya.