Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Ketika sudah banyak lagu ‘tangkap leleh’ kembali dipertaruhkan oleh artis tempatan - baik yang baru atau lama - penyanyi Singapura, Ezal tidak mahu ketinggalan untuk mengetengahkan dirinya menerusi irama sama.

Cuma, jika kebelakangan ini di corong-corong radio sering memainkan lagu mendayu-dayu dan meratapi kematian kekasih, Ezal memilih laluan yang sedikit berbeza.

Menurut Ezal, buah tangan terbarunya, Resah Seribu Rindu yang dilancarkan baru-baru ini begitu dekat dengannya kerana single itu mengingatkan dia kepada arwah bapa yang meninggal dunia lima tahun lalu.

“Pertama kali menerima lagu Resah Seribu Rindu daripada komposer Singapura pada Mac lalu, ia buat saya terus teringat kepada cinta yang hilang.

"Namun ia bukan cinta kepada sesiapa atau wanita pujaan hati, tetapi cinta kepada arwah bapa. Bukankah cinta itu skopnya luas," katanya kepada Malaysiakini.

Justeru, kata Ezal, dia bersetuju untuk menerima lagu berkenaan kerana ia mengingatkannya kepada sifat arwah bapanya, Abdul Rahim Nikmat.

Menurut Ezal atau nama sebenarnya Rohaizal Abdul Rahim, bapanya meninggal dunia selepas mengalami masalah jangkitan paru-paru pada usianya mencecah 72 tahun.

Kini detik paling sesuai

Apabila ditanya apakah sifat arwah yang begitu terkesan di hatinya, Ezal menjawab, kata-kata nasihat dan dorongan Abdul Rahim sangat membekas di hatinya.

Sementara itu, apabila diminta menceritakan perkembangan kariernya, Ezal berkata, dia sebenarnya menyepi daripada bidang seni suara sejak 2004.

Biarpun populariti yang ada mungkin tidak semekar artis lain dari Singapura, situasi itu tidak sedikit pun tidak menggoyah semangatnya.

Ezal mula menapak dalam bidang nyanyian sejak di bangku sekolah lagi menerusi pelbagai pertandingan nyanyian dan karaoke.

Selepas itu, pada 1990-an dia mula melakar nama dalam bidang seni suara dengan menyertai band Sukafellas dan menghiburkan ramai di sekitar Singapura.

Ezal memasang harapan tinggi agar Resah Seribu Rindu dapat membeli jiwa peminat di Malaysia biarpun sedar, dia perlu menempuh halangan besar sebelum dapat menggapai impiannya itu.

Halangan itu adalah bersaing dengan penyanyi popular kini, Aiman Tino dan Sufian Suhaimi, yang dikatakan mempunyai jumlah peminat agak besar dan berada dalam zon selesa sekarang.

“Bagi saya, waktu ini adalah paling sesuai untuk bermula iaitu dengan melancarkan lagu Resah Seribu Rindu kerana kebetulan pendengar di Malaysia juga menyukai lagu berirama tangkap leleh.

“Setiap artis ada kehebatan tersendiri dan saya pasti peminat mampu membezakan mana yang terbaik malah rezeki adalah untuk masing-masing dan tidak bimbang dengan persaingan,” katanya.

Satu lagi lagu baru Ezal yang dilancarkan berjudul Kurelakan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS