Pelakon dan pengacara berasal dari Taiping, Perak, Sarah Lian menang Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pada Anugerah Filem Los Angeles (Lafa) yang berlangsung Ahad lalu.
Menerusi status dimuat naik artis jelita itu di Facebook, Sarah berkata dia menang anugerah berkenaan menerusi watak sebagai Anna dalam filem Jasmine, arahan Dax Phelan.
"Saya menang Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di Anugerah Filem LA!
"Jasmine membawa pulang 7 anugerah di Anugerah Filem Los Angeles termasuk Filem Terbaik (Dax Phelan), Pelakon Lelaki Terbaik (Jason Tobin), Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Saya!!!) Sinematografi Terbaik (Guy Livneh) dan Suntingan Terbaik (Chris Chan Lee).
"Terima kasih kepada Anugerah Filem LA atas penghargaan ini! Sekalung tahniah kepada semua orang yang telah dicalonkan tahun ini," kata pengacara program Photo Face-Off itu.
Jasmine adalah sebuah filem psikologi seram yang mengisahkan tentang seorang ahli perniagaan yang bingung dengan kematian isterinya.
Pada ulangtahun pertama kematian isterinya, dia bertemu dengan seorang lelaki yang mengaku mempunyai kaitan dengan kematian itu.
Jasmine turut bersaing dengan filem lain seperti Magic Radio, The Lurking Man, Dress Rehearsal, Karma dan Along the River yang memenangi Filem Terbaik.