Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Lukisan 'dedak' Suddin kembali ke pameran BSVN
Diterbitkan:  Jan 12, 2017 1:08 PM
Dikemaskini: 5:32 AM

Selepas 'ghaib' dari dinding pameran, sekeping lukisan - berjudul The Subtitle - kembali menghiasi ruang di Balai Seni Visual Negara (BSVN) di Jalan Temerloh, Kuala Lumpur.

Karya Suddin Lappo itu dikatakan kembali digantung untuk tatapan awam sejak petang semalam.

Melihat perkembangan itu Suddin tidak menunggu lama untuk menyatakan rasa lega dan terima kasihnya.

“Alhamdulillah. Baru dapat khabar, katanya karya catan The Subtitle sudah digantung semula petang tadi. Terima kasih,” tulisnya di Facebook.

Sebelum ini lukisan berkenaan - yang diambil daripada satu babak filem terkenal, The Godfather - diturunkan atas alasan untuk "penyelenggaraan".

Ia menarik perhatian ramai kerana tulisan yang disertakan sebagai sarikata pada gambar berkenaan, iaitu "Aku akan bagi mereka dedak yang takkan bisa ditolak".

Dialog sebenar pada babak itu diucapkan oleh Vito Corleone yang mengucapkan: "I’ll make him an offer he can’t refuse" (Aku akan beri dia tawaran yang tidak akan mampu ditolaknya).

Perkataan "dedak" itu mungkin ditafsir bersifat politik kerana ia boleh dikaitkan dengan keadaan politik semasa negara ini apabila bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menggunakan ungkapan berkenaan bagi menyerang musuhnya.

Karya itu bisu, fikiran yang becok

BSVN adalah milik kerajaan dan diletakkan di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.

'Kehilangan' The Subtitle itu, kata Suddin, disedarinya selepas dimaklumkan oleh seseorang.

Dia kemudian berkunjung ke BSVN untuk mendapatkan kepastian. Malaysiakini turut menyiarkan laporan mengenainya semalam.

Apabila tiba di sana, kata Suddin, The Subtitle itu 'hilang' dan ada notis dilekatkan bertulis: “Karya ini diturunkan sementara bagi penyelenggaraan galeri.”

"Aku sedikit bingung, juga khuatir kalau karya itu sudah rosak, tercalar atau bagaimana? Sementara aku tidak dihubungi oleh mana-mana pihak sebelumnya. Dan cuma dapat tahu hal ini baru kemarin," soal Suddin pada akaun Facebooknya.

Suddin berkata, untuk menghayati The Subtitle seseorang perlu memahaminya sebagai layar filem.

Jelasnya, inti utama yang cuba disampaikan dalam karya itu adalah kritikan terhadap budaya bodek dalam masyarakat.

“Ini dapat dilihat pada aksi postur salam cium tangan. Ya, aksi ini pun boleh ditafsirkan dalam dua keadaan, sama ada sebagai rasa hormat, atau rasa tunduk (lemah) kepada kuasa yang lebih besar," katanya.

Justeru, perilaku itu boleh disifatkan sama seperti seorang murid yang menyalam tangan guru, anak terhadap ibu bapanya atau pekerja dan majikan.

“Selebihnya khalayak sendiri yang pandai-pandai mentafsir makna. Pengkarya pula tidak punya kuasa untuk menghalang. Kerana karya itu bisu, dan fikiran manusia yang becok," jelas Suddin.

Karya Suddin dipamerkan sejak 15 November hingga 20 Januari ini di BSVN.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS