Bagi Naseeruddin Shah, tokoh perfileman India, temannya Om Puri yang baru meninggal dunia bukan semata-mata wira di layar perak.
Malah, di dunia sebenar, pelakon Ardh Satya itu pernah menyelamatkannya nyawanya dalam satu cubaan bunuh.
Insiden di sebuah restoran itu diceritakan kembali Naseeruddin, 67, dalam autobiografinya berjudul And Then One Day: A Memoir.
Menurutnya, beliau diserang seorang rakan, yang hanya dirujuk sebagai Jaspal, yang bersenjatakan pisau tetapi diselamatkan Puri yang melompat ke aras meja untuk meleraikan situasi.
“Semasa penggambaran Bhumika (1977), Om dan saya sedang makan makan malam apabila tiba-tiba Jaspal - rakan yang sudah lagi tidak bertegur-sapa - masuk ke restoran untuk menegur Om.
“Kami tidak menghiraukan satu sama lain, tetapi matanya merenung tajam sebelum dia mengambil tempat duduk di meja belakang, begitulah seingat saya,” kata Naseeruddin.
Kemudian, tambah beliau, beliau mendapati terdapat tusukan tajam di bahagian belakang dan mahu bangun untuk menyerang balas tetapi dihalang Om.
“Dan sebaik menoleh, saya mendapati Jaspal memegang pisau kecil yang sedang berlumuran darah dan ketika itu tangannya sudah bersedia seolah-olah ingin cuba menyerang lagi, bagaimanapun Om dan dua lagi lelaki sempat menahannya daripada berbuat demikian,” katanya.
Bagaimanapun, sebelum benar-benar diselamatkan, episod tragedi Naseeruddin tidak tamat di situ saja.
Sebelum dibawa ke hospital, Puri terpaksa pula bertekak dengan pengurus hotel kerana tidak membenarkannya dibawa ke hospital tanpa kehadiran polis.
Puri bagaimanapun tidak menghiraukan larangan itu dan sama-sama menaiki van polis dan menghantarnya ke hospital.
Puri meninggal dunia di rumahnya di Mumbai pada usia 66 tahun selepas mengalami serangan jantung.
Beliau pernah tampil dalam kira-kira 300 filem yang turut meliputi beberapa produksi Pakistan, Britain dan Hollywood.
Antara filem lakonan beliau yang popular adalah Gandhi, The Reluctant Fundamentalist, Charlie Wilson's War, East Is East, The Hundred Foot Journey dan City of Joy.