Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
PAM: Jangan biar Matic jadi macam semut di tengah kota

Walaupun bangunan Pusat Pelancongan Malaysia (Matic) di Jalan Ampang Kuala Lumpur kekal dan hanya statusnya sebagai bangunan warisan terbatal, ia belum memadai nampaknya.

Binaan di Jalan Ampang itu memang masih sama, dan cuma kawasan sekitarnya dibangunkan.

Namun Pertubuhan Akitek Malaysia (PAM) menganggap situasi itu akan meletakkan Matic seolah-olah seekor semut di tengah-tengah pembangunan meluas.

Pengerusi Bersama Jawatankuasa Warisan Pemuliharaan PAM, Steven Thang Boon Ann (gambar), berkata pertubuhan berkenaan bimbang kerana setakat ini tidak diketahui sebesar mana pembangunan atau setinggi mana bangunan akan dibina berhampiran Matic itu.

“Jika projek berkenaan diserahkan kepada pihak swasta, pasti mereka akan menggunakan kawasan itu semaksimum mungkin atau membina bangunan setinggi-tingginya dengan tanah sekecil itu.

“Kami juga takut Matic tidak boleh 'bernafas' sekiranya bangunan baru dibina terlalu hampir,” katanya kepada Malaysiakini.

Baru-baru ini media melaporkan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz, menjelaskan kerajaan memohon untuk membatalkan status bangunan warisan pada kawasan berhampiran Matic.

Permohonan itu, kata Nazri, tidak melibatkan bangunan Matic dan Dewan Tunku Abdul Rahman atas sifatnya yang bersejarah.

Menurut beliau, pembangunan hanya membabitkan padang Lanai, halaman depan dan ruang parkir kereta yang terdapat di kawasan berhampiran Matic.

Terdahulu dalam kenyataannya PAM berkata status bangunan warisan pada Matic dan tapak berhampiran kawasan itu baru saja diwartakan pada 16 Jun tahun lalu.

Orang ramai boleh keliru

Maka, kata pertubuhan berkenaan, tidak wajar sekiranya pembangunan baru dibenarkan berlaku di kawasan itu.

Mengikut Akta Warisan Kebangsaan 2005, sesuatu binaan atau kawasan diwartakan untuk membolehkan ia terpelihara daripada kerosakan.

Antara kriteria untuk penyenaraian itu ialah, faktor kepentingan sejarah dan juga watak seni bina serta nilai estetikanya.

Sejarah bangunan berkenaan bermula sekitar 1935 apabila ia dibina pelombong dan pengusaha ladang getah, Eu Tong Sen.

Bangunan berkenaan dibina di atas tanah seluas 2.6 hektar yang sebelum itu adalah kebun rambutan.

Ia sering bertukar milik dan pernah menjadi markas tentera pada Perang Dunia Kedua.

Semasa di bawah Inggeris, berlaku peristiwa bersejarah apabila mesyuarat pertama Majlis Perundangan Persekutuan bagi Persekutuan Tanah Melayu diadakan di bangunan berkenaan pada 24 Februari 1948 .

Beberapa mesyuarat penting berkaitan dasar awal ketenteraan negara juga diadakan di bangunan itu apabila ia menjadi Markas Tentera Persekutuan.

Menurut Thang, antara langkah yang perlu diutamakan untuk memulihara bangunan warisan adalah tidak menyamakannya dengan bangunan baru.

“Jangan bina bangunan di sekeliling Matic dengan ciri-ciri warisan atau sama kerana ia boleh mengelirukan orang ramai, terutama pelancong asing.

“Mereka mungkin tidak tahu membezakan bangunan warisan dengan bangunan baru,” katanya.

Untuk itu, Thang berkata, PAM mengalu-alukan pihak yang bekenaan berbincang bagi menyelesaikan isu berkenaan.

“Kami berharap sama ada kerajaan atau pemaju yang berkenaan dapat mendengar pendapat kami,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS