BELASUNGKAWA "Awak yang payah, membelah ruyung. Orang bertandang, yang beroleh untung, akhirnya kita tak dapat dihitung."
Begitu mendalam lirik lagu “Seloka Cak Kun Cak”, duet Tan Sri SM Salim bersama Datuk M Nasir tidak lama dahulu.
Lembut lenggok bahasanya, tetapi sangat tajam sindirannya. Perhatikan juga betapa tinggi nilai bahasa dan indahnya pantun Melayu dalam rangkap lagu “Tak Seindah Wajah” nyanyian allahyarham.
Kusangka aur di pingir tebing
Kiranya tebu di pinggir bibir
Kusangka jujur pancaran batin
Rupanya palsu penghias zahir
Kukira hati jiwa nurani
Suci seindah wajah terbayang
Kukira puji seikhlas budi
Kulupa lidah tidak bertulang
Pada usia 88 tahun, SM Salim atau nama sebenarnya Sheikh Salim Sheikh Mohammad Al-Mahros dijemput menemui penciptanya untuk selama-lamanya.
Beliau menghembuskan nafas terakhir pada pukul 5.44 petang di kediaman anaknya di Sering Ukay, Ampang akibat sakit tua.
Pemergian SM Salim umpama kehilangan sebutir permata berharga bagi negara ini.
Allahyarham yang menjadi seniman kedua dianugerahkan gelaran Tan Sri selepas P Ramlee, meninggalkan budi dan jasa yang sangat besar terutama kepada muzik tradisional Melayu.
Tiada galang ganti
Tidak ada siapa dapat mempertikaikan kelunakan dan kemerduan suara SM Salim dalam mengalunkan lagu-lagu irama Melayu asli.
Bagi mereka yang mahir dalam selok belok muzik dan vokal, ia bukanlah mudah untuk menyampaikan lagu-lagu sedemikian. Irama Melayu asli ada lenggang lenggoknya dan tidak semua penyanyi dapat menyampaikan dengan baik.
Ketika irama rock dan pop-balada mengambil tempat dan memenuhi corong-corong radio, SM Salim tanpa segan silu mempertahankan irama Melayu. Maka lagu-lagu beliau tidak pernah lekang dek panas dan tak lapuk dek hujan.
Lagu “Apa dah Jadi”, yang pernah popular sekitar 1990-an misalnya, diingati segenap lapisan masyarakat. Ketika kerancakan muzik moden seperti rock, pop dan RnB, SM Salim tetap berbangga membela irama Melayu asli.
Lagu-lagu SM Salim tidak hanya sedap di halwa telinga pendengar. Pantun-pantun Melayu yang menjadi kekuatan dalam irama tradisional, menjadikan lagu-lagu allahyarham berada dalam kelasnya tersendiri.
Meskipun lagu-lagu Melayu asli masih berkisar mengenai soal cinta, memujuk rayu dan rindu dendam, lagu-lagu nyanyian SM Salim tetap mengekalkan nilai puitis dan estetika yang tinggi, selain sarat unsur jenaka dan nasihat.
Bakatnya tidak dilupakan penggiat seni moden apabila diundang untuk berduet dengan artis terkenal seperti Datuk Zainal Abidin (“Satu”),Datuk Sheila Majid (“Entah jadi, Entahkan Tidak”), Datuk Siti Nurhaliza (“Pandang-Pandang, Jeling-Jeling”) dan Datuk Jamal Abdillah (“Zaman”).
Antara lagu yang pernah dipopularkan seperti seperti “Mohon Kasih”, “Bunga Tanjung”, “Joget Kasih Bermula”, “Cik Siti Lelila Mayang”, “Cempaka Sari”, “Cinta Dulu Cinta Sekarang”, “Kalau Ku Tahu”, “Joget Jambu Merah”, “Siti Payung” dan “Selamat Tinggal Bungaku”.
Bandingkan lagu-lagu allahyarham dengan lagu-lagu cinta popular di corong-corong radio sekarang dan kita akan dapati perbezaannya bagaikan langit dan bumi.
Tidak hairanlah apabila penulis lirik terkenal, Habsah Hassan menegur penulis muda supaya menghasilkan lirik berkualiti agar lagu-lagu mereka terus melekat di minda pendengar dan menjadi malar segar.
Masih ada pelapis?
Selepas pemergian SM Salim, tidak ramai lagi penyanyi yang setia memperjuangkan lagu-lagu irama Melayu asli.
Ketika ini meskipun masih ada beberapa artis era moden yang gemar membawakan lagu-lagu klasik Melayu, tetapi mereka juga tenggelam dalam muzik kontemporari.
Ramai penggiat muzik Melayu asli telah pergi meninggalkan kita, bersama bakat mereka yang teramat mahal.
Mencari pelapis bagi mengangkat dan memartabatkan lagu-lagu tradisional asli nampaknya bukan satu perkara yang mudah.
Apatah lagi generasi hari tidak lagi begitu tertarik dengan lagu-lagu irama klasik, sepertimana mereka lebih gemarkan pizza dan spageti berbanding wajik dan dodol.
Bukan hanya lagu-lagu Melayu asli, malah seni budaya tradisional seperti inang, makyong, zapin, wayang kulit, dikir barat dan sebagainya sudah semakin dilupakan.
Jika ada pun, ia hanya dipersembahkan dalam acara-acara rasmi atau di majlis majlis eksklusif tanpa ada lagi roh dan semangatnya yang asal.
Akhirnya, seni warisan berzaman sekiranya tidak dipelihara akan pupus ditelan waktu.
Maka kitalah generasi hari ini yang harus mempertahankannya sepertimana pesan SM Salim dalam lagu duet bersama Jamal Abdillah dan Usop suatu ketika dahulu.
Bagai sirih pulang dalam gagang seri cemerlang
Bukanlah sebarang siapa jua boleh menyanyikan
Hamba pun menumpang sama menyanyikan
Lagu zaman yang berzaman
Lagu lama dengan rasa, cara kita orang timur
Tak mengapa asal suka budaya kita.
Al-Fatihah untuk SM Salim.