Penyanyi legenda tanah air, Tan Sri SM Salim, 88, kini dalam keadaan tenat di kediamannya akibat sakit tua.
Menurut anak sulung penyanyi itu, Siti Noraishah Salim, 60, kini ramai yang sanak saudara dan sahabat beliau yang datang menziarah dan membaca surah Yassin untuk bapanya yang dalam keadaan kritikal sejak awal pagi tadi.
"Selepas diberi alat bantuan, abah sudah boleh bernafas seperti normal, namun sejak pukul 8 pagi tadi abah mula menunjukkan tanda-tanda kritikal," katanya kepada Bernama.
Menurut Aishah, kesemua anggota keluarga sudah dipanggil pulang dan doktor yang merawat ayahnya itu menjelaskan bahawa sudah tiada apa yang boleh dilakukan kerana keadaan ayahnya sudah terlalu uzur.
"Kami sekeluarga hanya berserah kepada Allah," katanya.
Tan Sri SM Salim atau nama sebenarnya, Sheikh Salim Sheikh Muhammad Al Mahros memulakan kariernya sebagai penyanyi sejak 1957 dan merupakan penyanyi lagu-lagu Melayu klasik.
Penyanyi veteran itu lumpuh akibat sakit saraf dan hanya bergantung pada kerusi roda sejak 17 tahun lepas.
- Bernama