Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan
Ziana Zain: Semua akan mengeluh bila minyak naik

Seperti sebahagian rakyat lain, penyanyi Ziana Zain turut mengeluh apabila merasa tempias gara-gara terbeban dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Dalam menjalani kehidupan berkeluarga, Ziana berkata dia antara insan yang perlu bergelut dengan kekangan kewangan.

Yang menjadi masalah kata Ziana apabila perlu mendepani cabaran itu dengan 'berlapang dada.'

"Semua akan mengeluh apabila minyak naik.

"Kerana semua yang lain juga naik, seperti peralatan sekolah dan segala yuran.

"Sebagai rakyat kami harus hadapi perkara itu," katanya kepada Malaysiakini.

Terdahulu, Ziana diajukan soalan berkaitan subsidi minyak masak yang dibatalkan, tetapi dia hanya menjawab ringkas: "Tiada komen."

Pun begitu, Ziana adalah seorang ibu yang menitikberatkan tanggungjawabnya kepada anak-anak.

"Bangun pagi setiap hari dah siap masak sebelum bekerja. Saya pastikan semua dah siap apabila anak balik sekolah ada nasi," katanya.

Ziana atau namanya Siti Roziana Zain, 48, ditemui pada sidang media Konsert High Note 2016 di Istana Budaya hari ini.

Mulai awal bulan ini, kerajaan membatalkan subsidi untuk minyak masak, kecuali bagi paket 1 kilogram yang akan terus dijual pada harga RM2.50 setiap satu.

Pembatalan subsidi minyak masak menyebabkan sesetengah pengeluarnya menaikkan harga produk mereka sehingga 60 peratus.

3 vokal bernada tinggi

Untuk konsert yang akan bermula pada 25 hingga 27 November itu, Ziana antara tiga gabungan vokal bernada tinggi termasuk Jaclyn Victor dan Azlan & The Typerwiter.

Menurut Ziana, dengan keadaan ekonomi tidak menentu, begitu juga halnya dengan yang lain.

Katanya, masalah sama yang menghimpit rakyat lebih menjejaskan mereka yang berpendapatan rendah khususnya mereka yang menetap di bandar.

"Dengan gaji sekarang, bagi sesiapa yang mempunyai permulaan sebanyak RM2,500 umpama tiada apa-apa.

"Nak sewa rumah pun tak boleh, kalau ada anak lagilah," katanya.

Selain itu, katanya kehidupan di kampung juga tidak jauh berbeza, bagaikan nyawa-nyawa ikan.

Justeru, Ziana benar-benar menginginkan ada pihak yang mendengar keluh-kesah diajukan.

"Kami sebenarnya memang risau sangat dengan masa hadapan tetapi kita sama-sama berdoa akan ada keajaiban sesuatu akan berubah untuk kehidupan lebih baik," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS