Selebriti Kim Kardashian dilaporkan diacu senjata oleh dua ‘pegawai polis’ ketika berada di dalam bilik hotel di Paris semalam.
Menurut jurucakap, insiden berlaku apabila dua lelaki berpakaian anggota keselamatan dan bertutup muka memasuki bilik Kim dan menahannya.
“Dia (Kim) begitu terkejut tetapi tidak mengalami sebarang kecederaan,” kata jurucakap itu dilapor The Guardian.
Bintang siri realiti televisyen berusia 35 tahun itu mengunjungi Paris bagi menghadiri Minggu Fesyen Paris.
Dia ditemani ibunya Kris Jenner dan adik perempuan Kendal Jenner.
Seorang pegawai polis Paris mengesahkan kejadian rompakan membabitkan Kim dan siasatan sedang dijalankan.
Katanya nilai kerugian dialami Kim dianggarkan "beberapa juta euro" dan kebanyakannya melibatkan barangan kemas.
Portal Franceinfo pula melaporkan ada lima perompak berpistol terbabit dalam insiden berkenaan.
Pengawal peribadi Kim pula diikat penyerang sebelum mereka melarikan pelbagai barang berharga milik selebriti itu.
Sementara itu, suami Kim, Kanye West bergegas meninggalkan konsert di New York atas alasan berhadapan dengan hal kecemasan keluarga.
Pihak penganjur konsert kemudian mengeluarkan kenyataan: “Kanye West terpaksa mengakhiri persembahannya yang sudah hampir ke penghujung ekoran berlaku kecemasan keluarga.
“Kami menghargai persembahan West ketika dia mengakhiri acaranya di Festival Meadows.
“Kami berdoa untuk keselamatan West dan keluarganya.”
Ini bukan kali pertama Kim dilanda musibah.
Sebelum ini, Kim dihampiri oleh seorang lelaki yang cuba melakukan aksi tidak senonoh iaitu cuba mencium punggungnya.
Bagaimanapun, Kim diselamatkan oleh seorang daripada pengawal peribadinya yang berjaya menghalang kejadian itu daripada berlaku.
Pelaku tidak senonoh itu dikenali sebagai Vitalii Sediuk, 27, kemudian didapati sebenarnya cuba melakukan aksi protes terhadap Kim.
“Saya membantah Kim kerana menggunakan implan di punggung.
“Saya menggalakkan Kim dan seluruh keluarga Kardashian untuk mempopularkan kecantikan asli di kalangan remaja perempuan yang membuta tuli menyanjung wanita itu sebagai idola mereka,” katanya.