Timbalan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (Finas), Datuk Yusuf Haslam hari ini mengaku kurang tahu isu perobohan Puncak Purnama - sebuah arca karya Seniman Negara Datuk Syed Ahmad Jamal yang berlaku pada awal Julai lalu.
"Saya sebenarnya tak tahu pun pasal isu ni. "Saya cuma nampak dalam akhbar dan media sosial. Jadi saya tak boleh beri komen banyak," kata Yusuf ketika ditemui semasa menghadiri majlis memperkenalkan pengacara, penyampai trofi dan artis terlibat dalam Anugerah Festival Filem Malaysia ke-28 di Kuala Lumpur.
Apabila ditanya pendirian beliau tentang protes yang dianjurkan sekumpulan aktivis seni hari ini, Yusuf berkata: "Secara peribadi, saya rasa elok kalau dibawa berunding.
"Kalau kita amalkan budaya protes terbuka, (ia) boleh beri implikasi tidak baik... akan timbul macam-macam persepsi masyarakat dan beri imej tidak baik pada kita," kata Yusuf yang juga merupakan presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia.
Apa pun, katanya, beliau tetap menghormati pandangan pihak yang terlibat dalam bantahan berkenaan.
Puncak Purnama dirobohkan dengan kebenaran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada 1 Julai lalu atas alasan ia sudah buruk dan tidak dapat diperbaiki.
Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pula berkata arca berkenaan - yang disiapkan pada 1986 - menyakitkan mata.
Semalam sekumpulan seniman dan aktivis berarak sejauh kira-kira 300 meter untuk menyerahkan memorandum bantahan dan Deklarasi Puncak Purnama kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur.
Antara yang hadir ialah Sasterawan Negara Datuk Baha Zain, bekas pengerusi Bank UMBC yang menyerahkan Puncak Purnama kepada DBKL Zain Azahari Zainal Abidin dan pengarah filem U-Wei Saari.
Bantahan itu juga dibuat dalam suasana berwarna-warni kerana diisi dengan pelbagai persembahan seni, termasuk bacaan sajak, nyanyian dan muzik.
Sementara itu, pengarah Norzizie Zulkifli turut meluahkan rasa kecewa berhubung tindakan "tidak wajar" DBKL merobohkan arca yang disifatkan sebagai warisan negara.
"Lebih ralat adalah arca itu merupakan hasil karya seniman negara.
"Kalau seniman negara pun mereka boleh buat macam tu, apa lagi seniman kecil macam saya," katanya.
Berkongsi pengalaman mengembara ke luar negara, Norzizie berkata, karya-karya seni tempatan dapat dilihat di pusat kota dan kawasan tumpuan orang ramai.
Jalan di Kuala Lumpur, beliau berkata, kadang-kadang lebih kelihatan seperti di Arab Saudi dengan deretan restoran dari Timur Tengah.
"Barangkali kita terlalu hendak mengagungkan budaya barat sehingga kita rasa apa nilai kita ada, jati diri kita sebagai orang Melayu Malaysia, kita malu nak membanggakan...kita hendak dengan barat sahaja," katanya.
Mengulas kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Mansor berkenaan arca Puncak Purnama diruntuhkan kerana menyakitkan mata, Norzizie berkata seniman baru boleh diundang untuk membuat interpretasi semula tugu tersebut, tanpa menghilangkan wajah asalnya.