Ismail Zain bukanlah calang-calang seniman. Allahyarham yang turut dikenali di peringkat antarabangsa sering dirujuk penggiat seni tempatan kerana pemikirannya.
Selain dikagumi kerana karyanya yang membuka dimensi baru dalam arus moden seni digital, wawasan dan teori pemikiran kritis Ismail turut dijulang peminat seni.
Dalam keadaan begitu pun tidak semua pemikiran beliau sudah diterjemah sepenuhnya.
Menurut Prof Dr Abdul Halim Husain dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi), cara seniman itu berkarya adalah berdasarkan teori konsep ilmu pengetahuan.
“Dari setiap hasil penulisan dan pertuturan yang dilontarkan Ismail, semuanya berbentuk ilmu dan kerangka teori.
“Itulah sebabnya dia mampu menghasilkan benda baru sebelum dikembangkan ke fasa seterusnya untuk dijadikan lebih menarik,” katanya (gambar) kepada Malaysiakini.
Mengenai perkembangan seni tempatan selepas Ismail Zain, Abdul Halim berkata perlu ada perubahan dalam penghasilan karya kerana ketika ini kebanyakannya dilihat lebih menekankan aspek visual semata-mata.
Seni kontemporari masa depan
Justeru, kata pensyarah Fakulti Seni, Komputeran dan Industri Kreatif Upsi itu tidak perlu ada beratus-ratus karya yang menceritakan benda sama.
“Perlu wujudkan satu isu dalam menghasilkan sesebuah karya, tetapi kebanyakan yang sering dilihat kurang unsur pemikiran yang membincangkan sesuatu perkara lebih mendalam,” katanya.
Abdul Halim adalah seorang daripada empat tokoh yang berkongsi pemahaman mengenai Ismail Zain dalam simposium yang diadakan di Galeri Petronas, Kuala Lumpur pada Sabtu lalu.
Turut berucap Prof Hasnol Jamal Saidon dari Universiti Sains Malaysia, Nasir Baharudin (Universiti Putra Malaysia), dan penulis Hasmi Hashim.
Di simposium berkenaan, keempat-empat mereka menyentuh aspek seni kontemporari untuk perkembangan di masa depan.
Ismail digelar pelopor seni elektronik di Malaysia dan terkenal dengan beberapa karya signifikan seperti 7.PM dan Pupusnya Siti Nurbayah.
Semasa hayatnya, Ismail mendapat pendidikan di Kolej Kesenian Ravensbourne, Kuala Lumpur dari 1961 hingga 1964.
Beliau kemudian melanjutkan pengajian ke Sekolah Pendidikan Seni Halus Slade di Universiti London pada 1964 hingga 1966.
Ismail meninggal dunia pada 1991.
Kebanyakan hasil karya Ismail adalah kolaj digital, teks dan imej hingga dilihat sebagai seseorang yang mempunyai wawasan dalam seni berkomputer Malaysia.
Untuk memperingati Ismail sebuah pameran diadakan di Galeri Petronas mulai 1 hingga 21 Ogos ini.
Pameran Al-Kesah: Homage to Ismail Zain adalah rakaman penghormatan kepada beliau daripada 22 seniman tanahair yang menterjermahkan hasil kerja allayharham dengan kreativiti masing-masing.
Antara mereka ialah Redza Piyadasa, Zainon Abdullah, Raja Shahriman Raja Aziddin, Saiful Razman dan Haron Mokhtar.
Bagi Hasmi pula Ismail dilihatnya sebagai seorang pemikir yang sering membawa persoalan dari dunia ketiga.
Persoalan dibawa Ismail katanya berkait rapat dengan isu tradisi dan bagaimana ia dapat bertahan dalam dunia moden.
Namun Hasmi dilihat sedikit terkilan kerana sumbangan dan pemikiran Ismail hanya disambut dalam program yang julung kali dibawakan oleh Petronas itu.
“Simposium ini memberi penghormatan besar walaupun ia dibuat sesudah ketiadaan allayharham.
“Ia pertama kali dibawakan secara serius kerana dalam soal pembinaan negara bangsa, ia tidak akan boleh diselesaikan selagi persoalan asas tidak diselesaikan termasuk persoalan tradisi yang dibicarakan Ismail.
“Justeru, saya berasa kesal kerana pemikiran tokoh ini tidak disambut ketika dia hidup.
“Ia menjadikan kita malang kerana kita serahkan sepenuhnya hal bangsa kepada kekuasaan politik, tidak ada penglibatan serius pemikiran termasuk dalam kalangan seniman,” katanya.