Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan
Puncak Purnama: 3 hari kumpul 600 bantahan seniman

Satu petisyen atas talian seniman dan penggiat budaya bagi membantah perobohan arca Seniman Negara Allahyarham Datuk Syed Ahmad Jamal, Puncak Purnama, telah digerakkan.

Petisyen itu bagi menyatakan ketidak puasan hati pada perobohan itu tanpa rundingan dan persefahaman dua agensi kerajaan, iaitu Balai Seni Visual Negara (BSVN) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Bercakap kepada Malaysiakini, seorang penggerak petisyen itu, Saiful Razman berkata, agensi kerajaan sepatutnya lebih peka kerana ia tidak harus berlaku.

“Insiden perobohan seperti ini membuka mata semua pihak bahawa perlu adanya satu tingkat kerjasama dan kajian lebih mendalam sebelum sesuatu tindakan diambil demi menyelamatkan seni warisan budaya,” kata pelukis dan pengarca itu.

Inisiatif petisyen berkenaan turut digerakkan penggiat seni dan kurator, Nur Hanim Khairuddin serta penulis-pelukis Rahmat Haron.

Sebelum ini Malaysiakini menyiarkan artikel mengenai arca Puncak Purnama dirobohkan oleh pemaju selepas mendapat kebenaran daripada DBKL.

Tuntut pendirian kementerian

Menurut Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor arca yang siap dibina pada 1986 itu menyakitkan pandangan, usang dan tidak dapat dibaiki.

Susulan perobohan itu, sekurang-kurang lima penggiat seni membuat laporan polis di ibu pejabat polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur.

Dinamakan Deklarasi Puncak Purnama, petisyen itu menuntut campur tangan dan pendirian Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia yang bertanggungjawab dalam hal ehwal seni dan budaya.

Ia menyifatkan perobohan Puncak Purnama susulan kecuaian pihak tidak prihatin dengan hak cipta dan moral.

Deklarasi itu juga menyeru kerajaan menandatangani Kovenan Antarabangsa Hak-hak Ekonomi, Sosial dan Budaya, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang memperakui hak memperoleh perlindungan sesuatu karya ilmiah, sastera dan seni.

Deklarasi berkenaan turut menyebut BSVN perlu dihormati sebagai penaung kesenian negara.

Sebarang keputusan untuk memulihara, mengubah dan melupus sebarang artifak awam perlu merujuk bidang kuasa dalam Akta Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara 2011 dan Akta Warisan Kebangsaan 2005 (5).

Ia juga meminta DBKL melantik satu lembaga penasihat khas yang boleh terdiri daripada wakil BSVN, seniman, pereka mapan, budayawan dan tenaga akademik dari universiti tempatan untuk bekerjasama dalam sebarang perancangan berkaitan perkara kesenian dan kebudayaan.

Kerjasama dan saling bergantungan antara seniman dan pihak berkuasa diharapkan dapat melahirkan konsep ksenian dan warisan yang seterusnya memberi nilai kepada lanskap kota.

Secara tidak langsung, ia menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandaraya yang kaya estetika dan kesenian untuk masa depan.

Petisyen dimulakan pada 15 Julai, dua minggu selepas arca Puncak Purnama dirobohkan.

Dari pelajar kepada budayawan

Ia menyasarkan 1,000 tanda tangan. Semakan Malaysiakini setakat ini mendapati, ia berjaya mengumpul sebanyak 600 kutipan.

Golongan yang menandatangani petisyen kebanyakannya terdiri daripada penuntut universiti dan kolej dari pelbagai bidang, seniman, aktivis, penulis, budayawan dan pembuat filem.

Menurut Saiful, deklarasi akan diserahkan kepada Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz; Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia Tan Sri Razali Ismail; Pertubuhan Pelajaran, Sains, dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) dan ahli parlimen.

Sementara itu, Saiful berkata, arca awam itu dirobohkan tanpa mengambil kira etika dan adab dan sebenarnya boleh dielakkan dengan mudah.

“Ini semua masalah salah faham dengan pihak dalaman yang sepatutnya boleh dielakkan menerusi satu panggilan telefon terlebih awal.

“Berikan kami peluang meneruskan hidup dengan berasa yakin dan selesa bahawa perkara seumpama ini tidak akan berulang di masa depan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS