Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Meskipun Tan Sri P Ramlee dikatakan tidak mewah di penghujung usianya, keluarga kepada seniman agung itu mengakui masih menikmati kesenangan hasil daripada karya peninggalan Allahyarham.

Arzanee Armalie berkata, keluarganya menikmati royalti sekurang-kurangnya 200 lagu karya Allahyarham sehingga ke hari ini.

“Walaupun kita tahu pengakhiran kehidupan P Ramlee tidak sesenang mana, sekurang-kurangnya arwah meninggalkan karya berharga untuk dinikmati semua.

“Dan menerusi lagu yang pernah dihasilkan, keluarga P Ramlee menerima royalti setiap tahun, cuma tidaklah kami ini menjadi sekaya anak Michael Jackson.

“Boleh dianggarkan sebanyak RM10,000 wang hasil daripada royalti yang diterima dan dapatlah wang itu diberikan juga kepada anak saya,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Arzanee merupakan anak kepada Allahyarham Armalie dan cucu kepada A R Tompel dan biduanita Saloma.

Selepas berpisah dengan AR Tompel, Saloma berkahwin dengan P Ramlee sehingga ke akhir hayatnya.

Baru-baru ini, Ketua Pegawai Eksekutif Metrowealth International Group (MIG) David Teo membuat perbandingan antara artis di bawah naungan syarikatnya dengan kehidupan seniman agung itu.

Teo dilaporkan berkata tidak ada faedah menjadi pelakon tetapi hidup melarat seperti "pengakhiran kehidupan P Ramlee".

Ekoran kenyataan kontroversi itu, Persatuan Seniman Malaysia menuntut
Teo memohon maaf kerana mendakwa kenyataannya mengguris hati banyak pihak termasuk keluarga Allahyarham.

Teo dalam kenyataannya menerusi portal Metrowealth Pictures kemudian membuat permohonan maaf dan mendakwa kenyataannya disalahtafsir oleh media.

Menurut Arzanee, sebaiknya David Teo turut berbuat demikian kepada semua ahli keluarga Allahyarham.

“Sebaiknya permohonan maaf itu dibuat kepada semua ahli keluarga yang masih hidup.

"Tetapi tidaklah sampai perlu ke kubur kerana arwah sudah pun meninggal dunia," kata Arzanee yang bekerja sebagai tukang masak dan memiliki dua cahaya mata.

Sementara itu, Arzanee percaya David membangkitkan isu itu sekadar bagi mencari publisiti dan menaikkan nama produksinya yang didakwa semakin suram.

“Sudah lama kita kurang mendengar mengenai karya dihasilkan David dan saya percaya mungkin ini antara taktiknya untuk menarik perhatian dan publisiti.

“Dia tidak boleh sewenang-wenangnya bercakap mengenai sesuatu dan kemudian tidak mengaku pula, ini membabitkan maruah (Allahyarham),” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS