Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Dikuburkan Amerika, lahir melawan aparteid Afrika

Kalau sudah lama tidak menonton dokumentari yang begitu mengilhamkan, Searching For Sugarman adalah tajuk yang kamu cari. Dokumentari ini memakan tekad sekeras batu pengarahnya yang perlu berkelana di Afrika dan Amerika Selatan semata­-mata untuk mencari bahan.

Penggambarannya pula tidak dengan modal besar malah pada satu tahap dia kehabisan dana hingga terpaksa menggantikan kamera Super 8 dengan kamera iPhone untuk menghasilkan rakaman. Namun ia mungkin satu-satunya dokumentari kos rendah yang berjaya membawa pengarahnya ke podium Oscar.

Kecil dari segi dana, tapi besar dengan kisah yang dipaparkan. Sayangnya, Searching For Sugarman juga merupakan dokumentari pertama dan terakhir pengarah Malik Bendjelloul (gambar) sebelum dia membunuh diri pada 2014.

Keadaan itu ­­menjadikan filem ini kaya dengan trivia baik di depan kamera mahupun cerita­-cerita di belakang tabirnya.

Searching For Sugarman adalah dokumentari yang menyerupai cerita ala detektif dalam perkembangan plotnya untuk mengisahkan usaha mencari seorang penyanyi folk bernama Rodriguez.

Ia adalah nama yang tidak masyhur di mana-­mana pun, kecuali di Afrika Selatan. Di wilayah itu lagu-lagu Rodriguez bukan saja menjadi lagu wajib parti muda-­mudi tapi juga menjadi lagu anthem menentang aparteid.

Dalam industri muzik sekitar 1970-an cuma ada satu atau dua nama - selain Jim Morisson dan Bob Dylan - yang mendapat status peminat cult seperti itu.

Kita bercakap tentang nama yang lebih besar daripada The Rolling Stones dan Elvis Presly.

Jualan album pertama Rodriguez, Cold Fact (1970) - meski Rodriguez sendiri barangkali tidak pernah menerima apa­-apa royalti - melebihi album Abbey Road The Beatles.

Tapi soalan sama masih ditanya: Siapa Rodriguez?

Pemilik kedai muzik di Cape Town, Stephen Segerman menanyakan soalan sama pada kulit cakera padat Cold Fact (yang diterbitkan semula) dan kebetulan dibaca jurnalis muzik Craig Bartholomew.

Dia kemudian mengambil keputusan untuk menggali kisah di sebalik nama Rodriguez.

Bagaimana untuk mencari seorang penyanyi folk yang sudah mati tanpa meninggalkan jejak, nama keluarga atau kawan-­kawan? Dengan membaca lirik­-lirik yang ditulisnya.

Lagu protes melawan apartheid

Bartholomew mula mengkaji lirik-­lirik puitis Rodriguez yang seringkali mengandungi cerminan sosial meski datang dari sudut pengalaman peribadi.

Kadang-­kadang terasa begitu gelap dan suram seperti membawa kita menelusuri lorong-­lorong gelap Detroit, tempat Rodriguez mula menyanyikan lagu­-lagunya.

Rodriguez hilang dari radar setelah merakamkan dua album, masing-­masing melalui produser terkenal, Mike Theodore (Cold Fact) dan Steve M Harris (Coming From Reality) – produser sama yang menerbitkan album The Cure, Stevie Wonder, Janis Joplin dan nama­-nama lain yang terkenal pada era itu.

Kedua­-dua album itu, yang dijangka menakluk ­carta muzik seluruh dunia, bagaimanapun tidak mendapat sambutan dan nama Rodriguez lesap sejurus selepas itu.

Rodriguez meninggalkan mereka yang pernah bekerja dengannya, atau mendengar lagu­-lagunya, dengan seribu satu pertanyaan.

Sejak itu Rodriguez adalah sebuah susuk misteri diselubungi mitos tentang kematiannya. Ada pelbagai versi menengai cara dia mati. Antaranya ialah paling grotesque dalam sejarah bunuh diri - dia membakar dirinya di atas pentas sejurus selepas membuat persembahan.

Ketika seluruh dunia sudah melupakan Rodriguez, nama itu muncul di Afrika dan menjadi ikon penentangan terhadap penindasan dan dasar perkauman.

Afrika pada ketika nama Rodriguez muncul adalah sebuah negara yang terputus hubungan dengan dunia luar dan wujud sebagai entiti asing. Apa-­apa yang terjadi dalam negara itu tak tidak akan diketahui dunia luar, dan begitu juga sebaliknya.

Televisyen dianggap sebagai simbol komunis, suratkhabar sebagai ancaman. Piring hitam yang mengandungi lagu-­lagu yang bertentangan dengan agenda aparteid dicalarkan agar tidak dapat dimainkan di radio.

Karya mencari audien sendiri

Dalam kepungan dawai besi tirani sebegitu, Presiden P W Botha - perdana menteri Afrika Selatan ketika itu - tidak dapat membendung ativiti cetak rompak lagu­-lagu Rodriguez yang terlepas di ­tengah masyarakat dan mengambil tempat sebagai suara protes yang mengilhami gerakan revolusi musik Afrika.

Ketika kita menjangkakan sebuah siri tragedi menimpa seorang genius yang dilupakan, separuh masa kedua dokumentari Searching For Sugarman ini mengambil arah berlainan.

Dokumentari unik ini akan kurang seronok ditonton jika isinya diceritakan secara keseluruhan di sini.

Cukuplah dikatakan Searching For Sugarman adalah kisah yang jatuh dalam kategori too stange to be true. Watak-­watak yang ditemu ramah tidak hanya duduk di kerusi berlatarkan bilik bacaan, tapi bergerak, berjalan, memainkan lagu, dan bercerita dengan penuh emosi tentang seorang lelaki yang begitu polos pada karakter tapi begitu elusif dan profetik dalam pendekatannya terhadap hidup dan muziknya.

Rodriguez menjadi satu lagi epitome seperti yang dikatakan tokoh surrealis Jorge Luis Borges, bahawa sesebuah karya mempunyai mekanisme untuk mencari audiennya sendiri.

Album Cold Fact diterbitkan lalu kemudian sekelip mata dikuburkan di Amerika, tapi ia dilahirkan semula menjadi anthem melawan aparteid di Afrika.

Baris lirik lagu “I wonder how many times you have sex”, yang jika dibaca selapis tanpa konteks yang tepat akan kedengaran simplistik, namun ia menjadi kalimah ajaib dan mantera menjentik nurani ratusan ribu warga Afrika untuk turun ke jalan berhadapan dengan senjata dan ancaman penindas mereka.

Cerita tentang prinisp

Searching For Sugarman lebih daripada sekadar kisah tentang ironi, tapi juga tentang harapan, semangat, dan ketenangan hati dalam menerima nasib.

Ia cuba bercerita tentang prinsip ketika prinsip merupakan benteng terakhir yang menentukan sama ada manusia mempunyai pilihan untuk menentukan nasib sendiri atau hanya produk dari sekelilingnya.

Seseorang seperti Rodriguez mengingatkan kita bahawa mereka "yang layak" kadang­-kadang akan mengambil kerusi paling belakang, sama ada kerana sikap rendah diri ataupun rasa hormat diri sendiri.

Terlalu banyak kebetulan yang terjadi untuk memanggil keseluruhan kisah dalam dokumentari ini sebagai siri kebetulan.

Selepas memenangi beberapa lagi anugerah, beberapa fakta dokumentari ini dipersoalkan, tapi sedikit pun tidak menjejaskan reputasi Malik Bendjelloul, pengarah kelahiran Sweden yang menghasilkan dokumentari ini dengan penuh dedikasi.

Mungkin keterlaluan jika kita kata dia membayar karya ini dengan nyawanya sendiri; yang pasti nama pengarah Malik Bendjelloul akan melatari nama Rodriguez selama-lamanya.

Atau mungkin kita memang perlukan khabar yang baik-­baik. Mungkin, kita terlalu memerlukan kisah seumpamanya yang memberi inspirasi.

Kita perlukan anekdot dan cebisan kisah yang mempunyai warna lebih dari sekadar hitam dan putih, lebih dari sebelum ini. Kita perlukan lipur lara yang boleh beri kekuatan untuk bertahan, terus berjalan menelusur labirin. Dokumentari ini mengandungi semua itu, tapi ia jauh sekali daripada menjadi sekadar sebuah kisah dongeng.


WAHYUDI YUNUS penulis dan editor zine Fragranfrantik


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS