Robohnya arca tinggalan Seniman Negara Datuk Syed Ahmad Jamal nampaknya belum cukup untuk membuat aktivis seni di negara itu bangkit menyatakan pandangan secara kolektif.
"Itulah, ramai masih dibuai mimpi, tak peduli apa berlaku di sekeliling," kata Presiden Seniman Paksi Rakyat (PAKSI), Dinsman.
Bercakap kepada Malaysiakini Dinsman berkata walaupun sedih, sayu dan pilu melihat arca Puncak Purnama karya Syed Ahmad itu dirobohkan, itulah realiti tahap kesedaran penghayatan seni budaya dalam masyarakat negara ini.
"Terutama di kalangan para pentadbir. Tak ada rasa hormat kepada seni budaya," katanya.
Semalam media sosial dan media massa melaporkan arca Puncak Purnama di Jalan Atap itu dirobohkan untuk membolehkan projek membaik pulih landskap dijalankan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
The Star Online pula menyatakan papan tanda yang dinaikkan berhampiran arca itu menyatakan ia sebahagian daripada kerja membaik pulih "landskap kejur".
Ekoran itu beberapa pihak menggunakan media sosial menyatakan rasa kesal dan bantahan mereka terhadap DBKL.
Untuk rekod Syed Ahmad adalah pelukis besar di Malaysia dan diiktiraf sebagai Seniman Negara pada 1995.
Semasa hayatnya beliau pernah berkhidmat sebagai pensyarah dan pengarah Pusat Kebudayaan Universiti Malaya, sebelum dilantik menjadi pengarah Balai Seni Lukis Negara antara 1983 hingga 1991.
Lukis logo ADIL
Beliau meninggal dunia pada 30 Julai 2011 ketika pada usia 83 tahun.
Ketika negara bergolak dengan reformasi ekoran pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada jawatannya sebagai timbalan perdana menteri Syed Ahmad menghasilkan logo untuk Pergerakan Keadilan Sosial (ADIL) yang kemudian membentuk Parti Keadilan Nasional.
Kata Dinsman kurangnya reaksi masyarakat terhadap perobohan arca Syed Ahmad itu juga mencerminkan sikap orang seni di negara ini yang kebanyakannya tak peduli apa sedang berlaku dalam masyarakat.
"Suara orang seni jarang kedengaran mengambil peduli hal-hal budaya dalam msyrakat, selain akur dengan prancangan kerajaan.
"Sekarang apabila terjadi perkara begini baru nak terkejut," katanya.
Namun kata Dinsman, beliau tidak menjangkakan akan banyak perubahan berlaku di kalangan penggiat seni di negara ini selepas ini.
"Saya jangkakan keadaan akan kekal seperti sebelum ini. Terkejut pun (kerana perobohan itu) cuma sekejap saja," katanya.
The Star Online melaporkan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mohd Amin Nordin Abdul Aziz berkata arca itu tidak diselenggara dengan baik dan dalam keadaan buruk.
Puncak Purnama dibina Syed Ahmad menggunakan kaca seramik pada 1986 dan diserahkan kepada DBK pada November tahun sama.
Ia menggabungkan kesan cahaya, udara, tanah dan air. The Star melaporkan pada 1996 DBKL mengubah suai arca berkenaan dengan bahan keluli tahan karat.
Proses itu tidak mendapat kebenaran daripada Syed Ahmad dan kes berkenaan dirujuk ke mahkamah. Hakim kemudian mengarahkan datuk bandar Kuala Lumpur membayar pampasan sebanyak RM750,000.
Sementara itu Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Mansor hari ini berkata arca berkenaan didapati tidak dapat diperbaiki lagi, serta menyakitkan pandangan.