Apabila kaum tertindas hampir terbenam seluruhnya dalam realiti, mereka tidak perlu lagi dimanipulasi. - Paulo Freire (Pedagogi Kaum Tertindas).
Terima kasih kepada Astro kerana dengannya kini kita mampu menonton semula cerita-cerita lama yang pernah ditayangkan sama ada di kaca televisyen atau layar perak suatu ketika dulu.
Malah, satu-satunya syarikat televisyen satelit berbayar itu mungkin terlalu baik hati kepada para pelanggannya sehingga kita dipaksa menonton cerita sama berulang kali dalam tempoh yang singkat, walaupun tanpa merakamnya dalam PVR.
Apabila sifat “baik hati” ini berlaku sehingga membolehkan telefilem lama sebagus Orang Kasar ditonton semula, kita berasa gembira juga.
Kali pertama ditayangkan pada tahun 2003, Orang Kasar diterbitkan Fox Vision Enterprise sekira-kira untuk memenuhi pasaran telefilem video cakera padat (VCD) dan cakera video digital (DVD) yang sedang rancak pada masa itu.
Negara baru kebah dari krisis ekonomi dan politik era 1998. Skim pemisahan sukarela (VSS) rancak dilaksanakan di syarikat-syarikat besar dan kecil. Kerajaan pula mengehadkan bilangan pelajar ke luar negara (tetapi tidaklah sehingga menarik balik biasiswa seperti kerajaan sekarang). Industri perfileman turut menerima kesannya.
Para pemainnya terpaksa mengubah strategi dengan beralih dari medium layar lebar kepada layar kaca dengan menerbitkan telefilem yang berkos relatif lebih rendah.
Gigih siang malam
Kita mungkin masih ingat kegilaan menonton telefilem dalam format VCD sekitar hujung 1990-an ke awal 2000-an yang menawarkan cerita-cerita seperti Gosok lakonan kumpulan Spider; Aku Kaya lakonan Yassin, Hamdan dan Illya; Champion lakonan Saiful Apek, dan Blok 404 - satu telefilem thriller yang menarik lakonan Zamarul Hisham dan Raja Azri.
Sebagai sebuah karya seni bermutu, Orang Kasar sebenarnya lebih layak ditayangkan di layar filem berbanding layar kaca. Bagaimanapun, hasil akhir sesebuah karya itu tetap saja dinilai dari segi kualitinya, tidak kiralah di medium mana pun ia dimainkan.
Telefilem tulisan Anwar Idris dan arahan Harun Salim Bachik ini dibintangi Eman Manan, Jalaludin Hassan, Loloq, Azizah Mahzan, Uji Rashid dan Liyana Jasmay. Ia mengisahkan Murad (lakonan Eman Manan) seorang pemandu lori yang mempunyai tiga orang anak dan seorang isteri yang tidak bekerja.
Daripada hasil usaha gigih Murad bekerja siang malam, dia membeli sebuah rumah di Taman Batu Muda - sebuah projek perumahan dimajukan syarikat Datuk Dahlan (Jalaludin Hassan).
Malangnya, setelah bertahun-tahun, rumah yang diharapkan untuk diduduki tidak kunjung siap walaupun Murad telah pun membayar tunai RM40,000 kepada pemaju. (Bayangkan betapa murahnya harga rumah teres pada masa itu dan betapa tingginya ia telah melambung dalam tempoh hanya sepuluh tahun!)
Masalah bertambah rumit apabila rumah setinggan yang diduduki Murad sekeluarga di Kampung Berembang diancam untuk dirobohkan oleh DBKL atas alasan pembangunan.
Pada waktu inilah kesempitan mendorong Murad bertindak. Keberanian Murad memanjat pejabat pemaju langsung memarahi pengarahnya adalah antara adegan paling menarik dalam cerita ini.
Culik tak sengaja
Murad ternyata tidak boleh terus-terusan merelakan si pemaju membiarkan rumahnya terbengkalai tanpa sebarang perkembangan.
Tindakan tersebut ternyata berhasil apabila selepas itu, Datuk Dahlan memanggil anak-anak buahnya bermesyuarat sebelum memutuskan untuk meneruskan projek perumahan Batu Muda walaupun dibantah seorang ahli kerana keputusan tersebut bakal mengakibatkan syarikat menanggung kerugian.
Adegan yang menarik seterusnya ialah apabila Murad nekad tinggal di rumahnya yang belum siap (setelah menghantar isteri dan anak-anaknya ke rumah ibu mentua) yang telah rosak, dicontengi grafiti selain dijadikan sarang penagih dadah.
Murad menjadikan papan katil sebagai daun pintu, menyalakan lilin pada waktu malam dan menadah air hujan untuk membersihkan diri. Malah Murad turut menggantung lukisan-lukisan yang dibawa dari rumah lamanya, di 'rumah' baru itu.
Ia kemudian turut dihuni Datuk Dahlan selama satu malam dalam satu episod penculikan tidak sengaja yang dilakukan Murad terhadapnya. Di sinilah Datuk Dahlan menginsafi keperitan yang dialami Murad sehingga membentuk pandangan dan sikapnya untuk tidak mendakwa Murad di penghujung cerita.
Pada malam itu juga, Murad didatangi dua orang pegawai polis yang melarangnya daripada tinggal di situ atas alasan keselamatan. Berbekal dokumen-dokumen rasmi dan beberapa dalih, Murad berhasil meraih izin mereka untuk duduk di situ untuk satu malam lagi.
Kata Murad kepada Datuk Dahlan yang disorokkannya di dalam bilik: “Aku mahu dihalau keluar dari rumahku sendiri.”
'Penculikan' Datuk Dahlan oleh Murad selama dua hari dua malam merintis hubungan yang jauh lebih dalam daripada hubungan penculik dengan mangsa culik.
Datuk Dahlan tidak jadi membenci Murad, sebaliknya dia terkena Sindrom Stockholm apabila mula berasa simpati dan bersikap positif kepada Murad sehingga ke peringkat mempertahankannya.
Menuntut hak sendiri
Dalam babak itu kita dapat melihat jurang perbezaan antara dua darjat manusia – yang kaya, berkuasa dengan yang miskin, meminta-minta.
Manusia telah dibezakan kepada kelas borjuis dan proletariat, dengan kelompok kedua berperanan mengusahakan kepentingan-kepentingan kelompok pertama sambil mengorbankan kepentingan diri sendiri.
Dalam Orang Kasar, Murad berusaha gigih mencari wang untuk diberikan kepada orang seperti Datuk Dahlan untuk ditukarkan dengan sebuah rumah. Tetapi, atas pelbagai alasan dan kesalahan yang diwajarkan, pertukaran itu tidak berlaku sebaliknya yang terjadi adalah pemerasan ke atas wang Murad.
Kemelaratan hidup dan penindasan memaksa Murad menjadi “orang kasar”, mendrobrak pintu kaca mahligai penguasa kaya yang menentukan takdir hidup orang sepertinya, untuk merebut secubit bahagian daripada haknya sendiri.
Datuk Dahlan pula - yang sehari-hari mendapat biaya daripada hasil titik peluh orang seperti Murad - menjadi begitu selesa dengan kesenangan yang kemudian bertukar kepada kemewahan sehingga lupa untuk melengkapkan transaksi sepatutnya, iaitu dengan tidak melengah-lengahkan pembinaan rumah Murad.
Di sinilah berlaku manipulasi golongan borjuis ke atas proletariat, pemerasan jarak jauh yang berlaku tanpa kontak fizikal antara keduanya.
Sememangnya begitulah caranya golongan borjuis (atau penindas) beroperasi, iaitu dengan menjarakkan diri mereka dari golongan proletariat (yang ditindas).
Jarak dihapus tangan kasar
Di tengah-tengahnya, mereka akan menaburkan pelbagai dongeng dunia seperti “kes perumahan sedang disiasat kementerian", “pemaju menyerahkan tanggungjawab sepenuhnya kepada kontraktor dilantik”, “setinggan ini perlu dikosongkan bagi membolehkan pembangunan dijalankan” dan terma sulit dan sukar difahami lain (tetapi perlu diterima, dibiasakan dengan cara hidup) bagi mencipta jarak maya antara penindas dengan yang ditindas.
Dalam Pedagogi Kaum Tertindas (1970), Paulo Freire mengulas hubungan ini dengan cukup mapan apabila menyatakan bahawa begitulah cara kaum penindas mengekalkan penguasaannya ke atas kaum yang ditindas melalui jalan “penaklukan”.
Di tangan Murad, jarak maya itu telah dihapuskan dengan tangan kasar dan suara lantangnya. Dia telah meletak si borjuis dan proletar duduk di satu aras yang sama apabila dia dan Datuk Dahlan sama-sama tidur di atas lantai rumahnya yang telanjang.
Tanpa sebarang dinding pemisah, dua golongan ini dapat berkomunikasi dan mewujudkan dialog – satu pekerjaan yang sangat ditakuti oleh golongan penindas lantaran potensinya untuk menghilangkan sifat superiority mereka.
Perlahan-lahan, hasil daripada dialog dan penerokaan kesetaraan status, Datuk Dahlan berhasil menukar topeng wajahnya daripada penindas kepada pembebas.
Di akhir cerita, situasi ini digambarkan melalui adegan Murad berjabat tangan dengan Datuk Dahlan yang terbaring di atas katil hospital setelah kedua-duanya berbaik-baik seraya membebaskan diri mereka dari belenggu perbezaan kelas sosial yang palsu.
Namun realitinya, perjalanan kaum tertindas seperti Murad (dan mungkin kita?) masih jauh dan berliku.
HAIZIR OTHMAN pemuda Melaka yang kini menetap di Kelang dan bekerja dalam persekitaran buku-buku akademik di sebuah kolej swasta di Subang Jaya