Selepas mendapat surat tuntutan daripada agensi pengiklanan Leo Burnett Malaysia, penerbit dan pengarah filem Tan Chui Mui tampil mengemukakan "surat tuntutan" daripada pihaknya pula.
"Saya menerima surat tuntutan daripada Leo Burnett hari ini. Saya dimunta menarik balik kenyataan saya dalam tempoh 48 jam.
"Untuk menarik balik kenyataan saya, Leo Burnett patut sekurang-kurangnya meyakinkan saya mereka tidak memplagiat cerita saya.
"Saya ingin membuat tiga tuntutan supaya Leo Burnett berpeluang membuktikan mereka tidak bersalah," katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam Malaysiakini melaporkan Leo Burnett Malaysia mengeluarkan surat tuntutan kepada Tan Chui Mui dan syarikat penerbitan Da Huang Pictures.
Ia dibuat berikutan dakwaan Tan bahawa agensi itu menciplak kerja kumpulannya untuk menghasilkan iklan Petronas - bertajuk Rubber Boy.
Agensi itu berkata, surat itu adalah untuk memberi Tan dan Da Huang peluang menarik balik "kenyataan tidak berasas" di media sosial berhubung perkara itu.
"Leo Burnett menegaskan bahawa unsur-unsur utama termasuk mesej, watak-watak, keadaan di estet getah dan emosi, adalah sebahagian skrip agensi itu yang dikongsi dengan tiga pengarah pada 2014, termasuk (pengarah dari) Da Huang.
"Nampaknya ada niat untuk menyebabkan kerosakan pada reputasi Leo Burnett dan pelanggannya melalui pos di media sosial, yang telah dikongsi dan kemudiannya dikutip oleh media arus perdana," kata agensi itu dalam satu kenyataan.
Leo Burnett berkata ia telah menjelaskan kepada Da Huang bahawa Rubber Boy mempunyai "jalan cerita yang berbeza" daripada konsep dipilih oleh pasukan itu pada 2014.
Kata Tan dia tidak mempunyai peguam untuk merangka dokumen berkenaan. Justeru, katanya, dia menulis sendiri surat tuntutan itu.
Pertama, Tan meminta Leo Burnett menunjukkan skrip Ah Pa's Sacrifice yang didakwa agensi berkenaan dikembangkan untuk pelanggan mereka walaupun ia kemudian tidak diteruskan.
"Sebagai perbandingan adil kedua-dua cerita, tolong tunjukkan skrip Ah Pa’s Sacrifice yang dihantar kepada pasukan saya pada 22 Disember 2014 dan didakwa Leo Burnett menjadi asas kepada cerita saya," katanya dalam surat berkenaan.
Tan memberi tempoh 48 jam kepada Leo Burnett untuk mendedahkan skrip berkenaan. Jika gagal sehingga jam 9 pagi pada 2 Julai ini, Tan menganggap Leo Burnett memberi kebenaran kepadanya berkongsi kandungan skrip cerita garapan mereka di akaun Facebooknya.
Tempoh 48 jam diberi
Tuntutan kedua Tan ialah supaya Leo Burnett membuktikan mereka menulis cerita sama sebelum 23 Disember 2014 - merujuk kepada tarikh dia membentangkan rangka cerita kepada pengarah kreatif agensi berkenaan James Yap pada tarikh itu.
Tan kemudian menyatakan garapan cerita yang dibentangkan kepada Leo Burnett adalah berdasarkan cerita pendek dihasilkannya dan diterbitkan pada 13 Disember 2011.
Tuntutan ketiga Tan ialah Leo Burnett membuktikan agensi itu memiliki cerita sama dan diterbitkan mereka sebelum 2011.
Katanya Leo Burnett diberi tempoh 48 jam untuk menjawab "surat tuntutan" berkenaan.
Sebelum ini melalui beberapa pos di Facebook menggunakan hashtag #LeoBurnettplagiarism Tan mendakwa pasukannya membentangkan cerita mengenai anak seorang penoreh getah kepada agensi itu pada 2014.
Ia dibuat selepas Tan dihubungi Leo Burnett untuk merangka satu konsep iklan komersial sempena Tahun Baru Cina.
Kata Tan cerita yang dibentangkan itu berdasarkan kepada kenangan zaman kanak-kanak seorang rakannya yang tiba-tiba menyedari betapa besarnya pengorbanan seorang ibu membesarkan anak dalam keluarga penoreh getah.
Ketika remaja rakan Tan itu baru menyedari kesukaran ibunya ketika gagal mengangkat bakul dibawa wanita terbabit ketika menoreh getah.
"Melihat kesukaran itu ibunya mengangkat bakul berkenaan dan berlalu pergi, menyebabkan anak lelakinya menangis terharu," katanya.
Pembentangan Da Huang itu termasuk maklumat mengenai lokasi dan pelakon yang berpotensi tetapi pada Januari 2015, kata Tan, Leo Burnett memberitahu mereka, idea berkenaan tidak terpilih.
Iklan Rubber Boy itu disiarkan di atas talian pada Februari lalu.
Sementara itu dalam kenyataan medianya petang ini Leo Burnett Malaysia berkata mereka tidak wajar membincangkan pertikaian itu melalui media sosial.
"Justeru Leo Burnett akan memulakan prosiding perundangan terhadap Tan Chui Mui dan pihak lain bagi membolehkan hal ini didengar di forum sepatutnya.
"Disebabkan itu Leo Burnett tidak akan memberi kenyataan lanjut berhubung isu berkenaan di media sosial dan akan membiarkan mahkamah memutuskannya," kata kenyataan berkenaan.